Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim
LENGGONG - Orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan maklumat dan
bahan berkaitan bencana banjir yang tidak benar dan tepat tanpa merujuk
pihak berkuasa terlebih dahulu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor
Ibrahim berkata pihaknya mendapati banyak berita yang disebarkan di
media sosial dan menjadi 'viral' adalah tidak benar dan tepat.
"Jangan timbulkan suasana tidak tenteram dan mencemaskan. Jangan
timbulkan suasana yang tidak perlu sedangkan keadaan sebenar adalah
terkawal," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan
Penyelamat Lenggong di sini, malam tadi.
Menurut Wan Mohd Nor kekuatan anggota dan aset pasukannya setakat ini
mencukupi bagi menghadapi keperluan bencana banjir yang melanda beberapa
negeri terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Aset jabatan itu boleh dipindahkan mengikut keperluan memandangkan
bencana banjir tidak berlaku serentak di seluruh negara, katanya.
"Kejadian banjir ini berubah-ubah, kita boleh pindahkan aset-aset kita
ke kawasan yang memerlukan selain itu kita juga mempunyai kerjasama erat
dengan agensi lain seperti tentera dan polis yang sama-sama membantu,"
katanya.
Wan Mohd Nor berkata kesiapsiagaan keseluruhan 13,000 anggota
pasukannya juga berada pada tahap tertinggi dan bersedia bertugas 24
jam.
Cuti tahunan anggota di negeri-negeri terlibat bencana juga dibekukan
dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pasukan, katanya.
"Kita nampak apa yang penting dalam situasi bencana adalah koordinasi
pelbagai agensi yang berjalan begitu baik, sama ada dari segi pusat
pemindahan, aset serta aspek logistik," katanya menambah anggota bomba
yang ditugaskan 24 jam memahami tugasan, peranan dan tanggungjawab
mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan