Isnin, 22 Disember 2014

Utusan Malaysia bohong lagi, perarakan Maulidur Rasul Pulau Pinang tetap dijalankan seperti biasa tahun depan

lge1-650x400

Oleh MUHAMMAD SHAKIR AMEER MOHIDEEN


Laporan Utusan Malaysia yang mendakwa bahawa Kerajaaan Negeri Pulau Pinang bertindak untuk ‘menyekat’ sambutan Maulidur Rasul adalah tidak benar sama sekali dan ia berunsur fitnah serta satu penipuan yang bertujuan memburukkan nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, terutamanya di kalangan rakyat yang beragama islam.

Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abbul Kassim yang mengatakan ingin membaikpulihkan sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang adalah satu langkah positif untuk memastikan sambutan Maulidur Rasul bermakna dan bukannya semata-mata untuk berarak sahaja.

Namun begitu, perarakan tidak dihentikan seperti yang didakwa. Pada tahun ini, perarakan bermula dari Padang Kota Lama ke Dewan Sri Pinang. Pada tahun hadapan pula, perarakan akan dilangsungkan di Kepala Batas dari Vision Park sehingga ke Masjid Abdullah Fahim. Walau apa pun, perarakan Maulidur Rasul tetap diadakan di Pulau Pinang berserta dengan aktiviti-aktiviti Islam untuk kebaikan ummah di negeri ini.

Sejak Negeri Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, peruntukan yang disediakan untuk Hal Ehwal Islam telah meningkat lebih 300 peratus berbanding dengan pemerintahan BN sebelum Mac 2008. Kerajaan BN hanya memberikan peruntukan RM 25 juta sahaja tetapi sejak 2009 dan tahun-tahun kemudian, peruntukan bagi Hal Ehwal Islam meningkat kepada RM35.78 juta pada 2009, RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013) dan RM51.17 juta (2014).

Peruntukan juga disediakan kepada Sekolah Agama Rakyat yang tidak pernah dilakukan sebelumnya oleh BN di mana sekolah-sekolah berkenaan menerima RM1.5 juta hingga RM1.75 juta setiap tahun. Peruntukan juga diberikan kepada guru-guru agama dan penghafaz al-Quran, juga sesuatu yang BN tidak pernah lakukan sebelum ini.

Masjid-masjid di seluruh negeri Pulau Pinang juga menerima peruntukan tanpa sebarang penindasan tidak kisah sama ada masjid-masjid berkenaan di lokasi kawasan Parlimen/DUN yang disandang Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Kerajaan negeri juga memperuntukkan tanah ‘prime land’ seluas 3.5 ekar di George Town yang bernilai RM100 juta bagi menaik taraf mahkamah syariah.

Sayangnya semua berita ini yang benar, tepat dan baik untuk umat Islam telah disorokkan oleh Utusan dan konco-konconya. Mereka lebih bangga dan takbur dengan terus menabur fitnah walaupun kebenaran terpampang di hadapan mata.

Sebagai seorang Islam dari Pulau Pinang, saya melihat banyak aktiviti masjid khususnya aktiviti berdasarkan pendidikan Islam disokong penuh Kerajaan Negeri. Sebagai warga Pulau Pinang, saya ingin menjemput para penulis untuk datang ke Pulau Pinang dan lihat dengan mata sendiri bagaimana Islam berkembang di bawah kerajaan yang kononnya ‘menyekat’ agama ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah membuktikan kepada semua bahawa keprihatinan kepada Islam dan umat Islam tidak menghalang pihak kerajaan untuk bersikap adil kepada agama-agama lain sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Pulau Pinang sejak turun-temurun. Kerana itulah rakyat Pulau Pinang menolak politik pelampau agama dan perkauman di negeri ini.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Islam, perlu berhati-hati dengan fitnah Utusan. Perlu diketahui bahawa mahkamah telah dua kali membuktikan Utusan memfitnah Ketua Menteri Lim Guan Eng yang dituduh kononnya ‘anti-Melayu’ dan ‘rasis’ serta cuba menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kerana fitnah-fitnah itu, Utusan terpaksa membayar saman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Namun, kerana benci dengan kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang dengan adil dan telus, Utusan terus bersikap tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan fitnah yang berniat jahat. Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar mengemukakan saman fitnah terhadap Utusan Malaysia. –Roketkini.com

Tiada ulasan: