Azmin Ali Azmin Ali
 
 
PUCHONG – Tawaran jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) kepada Ketua Pembangkang Selangor menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan demokrasi serta tidak wujud amalan pilih kasih.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri itu bukti peranan BN sebagai pembangkang diiktiraf bagi mengimbangi pengurusan.

Menurutnya, keanggotaan itu tidak seharusnya dijadikan isu sebaliknya Adun BN perlu memberi kerjasama bagi melicinkan lagi peranan memajukan rakyat dan Selangor.

“Kita bagi BN jawatan pengerusi maknanya kita maklum tugas mereka. Jadi mereka kena terima, tidak ada isu personal dan kita mahu bekerja sebagai satu kumpulan dan bekerjasama untuk jalankan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kita bagi peluang dia tidak mahu. Ini adalah amalan di negara demokrasi di mana kita memberi jawatan Pengerusi PAC itu kepada ketua pembangkang,” katanya ketika sidang media selepas program Jejak Masyarakat Jelajah Mesra Rakyat Bersama Menteri Besar,
semalam.

Adun Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias meletak jawatan sebagai ketua pembangkang dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kura Wang Awam (PAC) Selangor berikutan dakwaan tiada keseimbangan dari segi keanggotaan ahli.

Bagi isu peruntukan Dun, kata Mohamed Azmin setiap kawasan menerima RM700,000 setahun tanpa mengira ia jajahan BN ataupun PR kerana ia bertujuan untuk rakyat.

“Jumlahnya tetap sama untuk semua. Kita tawarkan RM200,000 diuruskan Adun BN manakala selebihnya RM500,000 akan diberikan kepada penyelaras, jumlahnya RM700,000,” tambahnya.

Sebelum ini semasa pembentangan Bajet 2015 bulan lalu, Adun BN tidak berpuas hati dengan cara agihan peruntukan untuk wakil rakyat PR dengan pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kesibukan dan kekangan masa sebagai wakil rakyat dalam PR menjadi punca parti itu tidak berkesempatan mengadakan mesyuarat hampir enam bulan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, ia tidak seharusnya dijadikan isu malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan perjumpaan akan diadakan bulan hadapan.

“Datuk Seri (Anwar) telah keluarkan kenyataan. Kami (PR) akan berjumpa nanti,” katanya.

Sebelum ini, veteran DAP, Lim Kit Siang menyuarakan kebimbangan PR mungkin terpaksa dibubarkan sebelum PRU14 kerana sudah lebih enam bulan tidak bermesyuarat dalam masa sama berdepan dengan pelbagai perbalahan dalaman dan berisiko kehilangan sokongan rakyat.

Anwar dalam kenyataan balas berhubung perkara itu memberitahu, Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan bermesyuarat bulan depan dan menganggap kenyataan Kit Siang itu hanya cubaan untuk memberi “kejutan” kepada PR.