Rabu, 24 Disember 2014

Setuju pelaksanaan Hudud di Kelantan tetapi…- Khalid Samad

 
Mengikut prosedur, AJK PAS Pusat harus dimaklumkan berkenaan mesyuarat sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.


hudud-rakyat-malaysia_300


PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Abdul Khalid Samad menyatakan secara prinsipnya beliau bersetuju dengan perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan.

Bagaimanapun, pendekatan ke arah perlaksanaan hukum hudud perlu lebih diperincikan.

“Kita tahu mengenai rancangan nak laksana Hudud di Kelantan tetapi yang kita tidak tahu adalah perincian ke arah pelaksanaannya,” katanya sewaktu dihubungi Free Malaysia Today semalam.

Beliau yang merupakan ADUN Shah Alam turut menyatakan bahawa tidak dimaklumkan mengenai bil persendirian yang hendak dibawa ke Parlimen, begitu juga berhubung jawatankuasa bersama di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Kita tidak dimaklumkan, mesyuarat AJK PAS Pusat adalah pada hari Ahad (14 Disember 2013) dan keesokkannya Menteri Besar Kelantan umum hendak buat mesyuarat sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan,” katanya.

Ujar Khalid lagi, jika mengikut prosedur mesyuarat, AJK PAS Pusat harus dimaklumkan berkenaan perkara ini.

“Takkan lah sampai AJK PAS Pusat tidak tahu. Ada di antara kita terkejut, dan kita cuma minta diadakan penerangan khas. Ini tidak, semua di dalam AJK PAS Pusat tidak mendapat maklumat.

“Sepatutnya diceritakan apa yang hendak dilakukan perancangan dan sebagainya tetapi tidak dimaklumkan,” tegas beliau.

Bahkan, Khalid menyatakan tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam PAS Pusat sendiri.

“Biar semua orang tahu bahawa kita tidak tahu, dan lepas tu harap-harap Kerajaan Kelantan akan panggil kita untuk bermesyuarat,” ujarnya..

Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan rancangan mengadakan mesyuarat pada 29 Disember ini, Khalid mengakui tidak tahu sama ada hendak bersetuju atau tidak kerana langsung tidak diberitahu maklumat tersebut.

“Jika nak dibawa ke Parlimen, seharusnya beritahu Ahli Parlimen, sama ada hendak dapatkan sokongan dari siapa, apa keterangannya, atau saja-saja nak bawa, kalau sekadar nak timbulkan tetapi tidak tahu ia akan diluluskan, itu kerja yang tidak profesional. kalau boleh kita nak ia diluluskan,” katanya.

Semalam, Khalid dilaporkan membuat kenyataan bahawa PAS Pusat tidak tahu- menahu mengenai Sidang Khas DUN Kelantan yang akan diadakan itu.

Tindakan beliau mencetuskan tanda tanya di kalangan banyak pihak kerana mesyuarat sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 akan berlangsung dalam beberapa hari sahaja lagi iaitu pada 29 Disember ini.

Tiada ulasan: