MALAYSIAKINI
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pengguna terpaksa menanggung
harga tinggi untuk petrol RON95, sedangkan harga purata bagi 15 hari
pertama Disember 2014 jatuh ke paras kurang dari RM2 seliter.
Menurutnya, formula yang diumumkan oleh kerajaan BN sebelum ini
menunjukkan harga RON95 kini telah jatuh ke paras RM1.98 liter tanpa
subsidi.
Malah, jika subsidi 30 sen seliter dikembalikan, maka harga RON95 bagi
dua minggu pertama bulan ini secara purata telah jatuh ke paras RM1.68
seliter, katanya.
"Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin BN pun yang berani menafikan
kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih bayar harga
minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam tempoh 45
hari sejak 1 November 2014.
"Mengikut amalan biasa, jumlah ini dikembalikan oleh syarikat-syarikat
minyak kepada kerajaan sebagai cukai tersembunyi," katanya dalam satu
kenyataan.
Berdasarkan pengiraan itu, beliau mendesak kerajaan BN agar tidak
berdolak dalih dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 serta merta.
Rafizi berkata, jika harga RON95 yang akan diumumkan pada 31 Disember
ini lebih tinggi dari RM1.90 seliter, ia bermakna BN terus memanipulasi
harga RON95 dan diesel untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak
secara tersembunyi.
"Selagi BN tidak menafikan perkara ini dan menjelaskan mekanisme
sebenar, siapa yang menyimpan jumlah RM274 juta yang dibayar lebih oleh
rakyat ini, selagi itulah rakyat akan terus beranggapan bahawa mereka
dicukai secara tersembunyi melalui harga RON95 dan diesel yang lebih
tinggi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam
laporan Bernama semalam menyebut, harga runcit RON95 dan diesel dijangka
diturunkan di bawah paras RM2 seliter mulai 1 Jan ini, sekiranya harga
minyak dunia kekal mengalami penurunan.
"Sekiranya harga minyak dunia terus mengalami penurunan selama tempoh 10
hari akan datang ini, saya yakin harga runcit RON95 dan diesel boleh
ditetapkan pada harga di bawah RM2 seliter," katanya.
Harga runcit semasa bagi RON95 dan diesel pada ketika ini masing-masing RM2.26 dan RM2.23 seliter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan