Rabu, 10 Disember 2014

Pimpinan Pakatan Rakyat mesti berjiwa besar

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: PAS meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat mesti berjiwa besar dan kembali kepada perbincangan demi menunaikan harapan rakyat yang mahu melihat masa depan negara melalui Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar percaya dan sangat positif dengan masa depan Pakatan Rakyat bahawa kerjasama itu bukan sahaja sampai pada PRU-14 malah ia akan melangkaui lebih daripada itu.

"Kalau kita fikir bahawa Pakatan Rakyat mungkin tidak kesampaian pada PRU-14 maka ia mungkin akan berlaku kerana itu yang kita fikir.

"Tetapi kalau kita fikir yang secara positif bahawa ia melangkaui PRU-14 maka saya yakin saya sebagai generasi merdeka sangat positif dengan Pakatan Rakyat bukan sekadar para PRU-14 tetapi melangkaui PRU-14 nanti," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menafikan dakwaan mengatakan tidak berlaku komunikasi Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan pimpinan Pakatan Rakyat.

"Saya tidak fikir tidak berlaku komunikasi sebab Tuan Guru Abdul Hadi hadir ke parlimen dan berada bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Kit Siang," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini melahirkan kebimbangan PR tidak akan bertahan sehingga ke PRU-14 ekoran keretakan hubungan antara parti komponennya.

Lim Kit Siang juga bimbang sesuatu akan berlaku antara mereka dan memberitahu sudah hampir setengah tahun Pakatan Rakyat tidak mengadakan mesyuarat. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: