Foto hiasan Foto hiasan
 
 
PULAU PINANG - Kegembiraan sepasang bakal pengantin di Pulau Pinang hari ini tergendala seketika apabila jurunikah yang ingin menikahkan mereka dilaporkan meninggal dunia.
 
Menurut sumber pengantin lelaki tersebut, adiknya yang turut bersama pergi ke Pulau Pinang untuk menyertai rombongan itu turut 'terkesima dan terkejut' apabila sampai sahaja di rumah jurunikah itu, dia meninggal dunia.
 
"...adik saya  pergi Pulau Pinang rombongan nikah anak saudara isterinya..sampai rumah Tok Kadi, Tok Kadi meninggal dunia.
 
"Pasangan nak nikah ramai...jadi semua kena pergi rumah dia...jadi pasangan kena pergi pejabat agama untuk bernikah.
 
"Bila sampai pejabat agama, pejabat agama tutup sebab hari Sabtu, mak pengantin kena telefon sana sini cari jurunikah...tetapi Alhamdulillah sekarang sudah nikah dekat Masjid Sebarang Perai," katanya menceritakan detik-detik tersebut.
 
Sementara itu, Sinar Online telah mendapatkan pengesahan daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Sazali Hussein mengenai insiden itu.
 
Sazali berkata, jurunikah tersebut telah meninggal dunia semalam dan difahamkan dia meninggal dunia secara mengejut.

"Dia meninggal jumaat (semalam), meninggal sebab sakit jantung, mungkin pasangan itu tidak dimaklumkan," katanya ketika dihubungi Sinar Online.
 
Menjelas perkara tersebut, Sazali berkata, Jabatan Agama Islam sedia menyerahkan kes-kes tersebut kepada Pengawai Tadbir Agama Daerah untuk 'menanganinya'.
 
"Bila ini berlaku (jurunikah meninggal mengejut) Pegawai Tadbir Agama Daerah akan ambil alih.
 
"Dan perkara ini tidak menimbulkan sebarang isu," katanya.