Ahad, 21 Disember 2014

Pemaju enggan bayar premium tak boleh mula kerja, elak isu hak milik

Oleh: NAZLI IBRAHIM


PUCHONG: Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar baru iaitu pemaju atau pemilik tanah perlu membayar premium tanah terlebih dahulu sebelum dibenarkan memulakan kerja bagi melindungi kepentingan pembeli unit sesuatu projek di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, sikap tidak bertanggungjawab pemaju yang enggan membayar premium tanah bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi menyebabkan pembeli unit sesuatu projek sukar mendapat hak milik unit kediaman atau unit komersial masing-masing.

“Kita mengambil keputusan, mengamalkan dasar baru iaitu pemaju atau tuan tanah tidak akan dibenarkan memulakan kerja tanah di tapak sehingga mereka selesaikan pembayaran premium ke atas tanah berkenaan.

rumah terbengkalai“Ini termasuk menyelesaikan bayaran caruman parit atau bayaran lain bagi mengelakkan projek terbengkalai yang menyebabkan masalah kepada pembeli,” katanya dalam Majlis Penyerahan Borang 5A bagi Projek Coral Land Corporation Sdn Bhd dan Penyerahan Surat Hak Milik Pembangunan Lestari Perdana, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, dokumen hak milik sesuatu hartanah sangat penting bagi membuktikan pemilikannya kerana segala urusan jual beli, urusan turun milik akibat kematian atau urusan gadaian kepada institusi kewangan tidak boleh dilaksanakan pemilik dan didaftarkan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara seperti yang dialami penduduk Lestari Perdana ekoran ketiadaan dokumen berkenaan.

azmin“Untuk makluman, pengeluaran hak milik individu bagi pembangunan Lestari Perdana tertangguh selama hampir 10 tahun walaupun bangunan sudah siap dan digunapakai,” katanya.

Menyentuh isu hak milik di Lestari Perdana, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah hak milik bagi pembeli rumah teres di Zon 6, 7 dan 9, Lestari Perdana, bermula tahun 2008.

Menyentuh lanjut isu hak milik di Lestari Perdana, Mohamed Azmin memberitahu, 215 pembeli atau 65 peratus daripada 334 orang berjaya memperoleh hak milik individu bagi hartanah masing-masing selepas mengemukakan permohonan ke Pejabat Tanah Daerah Petaling dan menjelaskan bayaran premium RM1,000.00 serta lain-lain bayaran penyediaan hak milik.

Manakala, baki 119 orang (35%) masih belum mengemukakan permohonan ke Pejabat Tanah Daerah Petaling untuk diproses permohonan pengeluaran hak milik mereka.

“Walau bagaimanapun, notis pemberitahuan sudah dihantar kepada mereka untuk mengemukakan permohonan,” katanya.

Kerajaan Negeri juga menyelesaikan masalah 301 pembeli kedai pejaat dua tingkat di zon 3, 3B dan zon 19B untuk mendapatkan hak milik individu masing-masing secara pemberi milikan terus kepada pembeli dengan hanya mengenakan premium tiga peratus daripada harga perjanjian jual beli asal dengan pemaju.-NFN-

Tiada ulasan: