Ahad, 7 Disember 2014

Pelantikan CEO MAS baru bukti Khazanah Nasional gagal

 
Sudah 57 tahun negara merdeka, tetapi Malaysia masih bergantung kepada orang asing untuk menentukan hala tuju syarikat penerbangan nasional
MAS_planes


PETALING JAYA : Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airline System Berhad (MAS) Christoph R Mueller akan menjadi bukti kegagalan Khazanah Nasional mencari solusi terbaik menangani masalah kerugian yang membelenggu syarikat penerbangan itu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang menyuarakan pendapatnya itu juga menegaskan, walaupun telah 57 tahun negara ini telah merdeka, tetapi Malaysia masih bergantung kepada orang asing untuk menentukan hala tuju syarikat penerbangan nasional negara.

“Apakah perlantikan CEO warganegara asing ini merupakan jalan terbaik untuk membawa MAS maju ke hadapan? Apakah negara kita sudah ketandusan mereka yang berbakat dan berkelayakan untuk memulihkan MAS? Sekian lama kita merdeka apakah kita masih meragui akan kebolehan dan kemampuan rakyat kita?,” soalnya dalam entri terbarunya dalam umnobahagiancheras.blogspot.com.

Dalam satu kenyataan semalam, Khazanah melantik Christoph R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)- Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo), berkuat kuasa 1 Januari akan datang.

Mueller, yang ketika ini merupakan CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan nasional Ireland, juga akan dicalonkan menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

Mengulas lanjut, Syed Ali menambah, Malaysia mempunyai tokoh yang berkelayakan dalam strategi memulihkan syarikat penerbangan negara antaranya, bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) Nasution Mohamed.

Malah, menurut beliau, kemampuan rakyat Malaysia dalam menjalankan perniagaan mega turut diiktiraf oleh negara-negara di dunia.

“Lihat sahaja bagaimana kerajaan Singapura mengiktiraf fikiran dan bakat rakyat kita dengan melantik Tan Sri Hassan Merican, bekas CEO Petronas sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Semb Corp yang dikendalikan oleh syarikat milik Singapura iaitu Temasek Holdings. ‘Jangan kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujarnya.

Beliau berkata, ironinya MAS bukan merupakan syarikat penerbangan komersial, sebaliknya adalah syarikat penerbangan nasional yang membawa wajah dan identiti negara Malaysia.

Syed Ali seterusnya mendesak supaya Tan Sri Azman Mokhtar bertangunggjawab di atas kegagalan itu dengan meletak jawatan sebagai CEO Khazanah Nasional.

Terdahulu kelmarin, Azman Mokhtar dilaporkan berkata Lembaga Pengarah dana pelaburan strategik kerajaan itu telah mengambil kira keadaan kritikal penstrukturan semula MAS, yang memerlukan kepakaran pengurusan penerbangan terbaik, khususnya, mereka yang mempunyai rekod pencapaian yang kukuh dalam memulihkan syarikat penerbangan negara.

“Pencarian global yang meluas dilaksanakan meliputi tenaga kerja rakyat Malaysia dan antarabangsa,” kata Azman.

Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata Mueller merupakan calon terbaik dan mempunyai dua tugas yang sama penting: memimpin pemulihan syarikat penerbangan nasional dan membangunkan pengganti tempatan.

Azman juga berkata, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly yang turut dilantik menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif juga akan membawa kepakaran dan pengalaman yang luas dalam banyak bidang, termasuk pemasaran, penjenamaan dan pemulihan korporat.

Tiada ulasan: