Isnin, 15 Disember 2014

Pakatan Kedah perkukuh kerjasama

Oleh SARINA ISMAIL


ALOR SETAR: Pakatan Rakyat Kedah akan merangka serta menyusun strukturnya bagi memastikan ia dapat bergerak lebih agresif untuk mendapatkan sokongan rakyat, kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar.Dalam sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat Kedah baru-baru ini,

 Mahfuz berkata Pakatan Rakyat negeri akan diperkasakan lagi dengan menampilkan imej baru dalam suasana politik semasa khususnya di negeri Kedah.

Sehubungan itu jelasnya, Pakatan Rakyat Kedah akan dibentuk dalam dua peringkat melibatkan pemimpin utama ketiga-tiga parti dan sekretariat yang diwakili oleh setiap parti.

“Perkara demikian dibentuk sebagai langkah menyusun gerak kerja selain melaksanakan program di peringkat negeri.

“Kita akan melantik Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa sebagai ketua Sekretariat dan di bawahnya diwakili lima orang dari setiap parti.

“Lima orang yang mewakili setiap parti akan diketuai timbalan ketua peringkat negeri masingmasing,” tambah Mahfuz.

Mahfuz menjelaskan penglibatan semua Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di bawah sekretariat berkenaan juga secara tidak langsung dapat membentuk Sekretariat Wakil Rakyat supaya gerak kerja mendekati rakyat dapat diperluaskan lagi.

“Dijangkakan pada penghujung Disember ini, pelan perancangan tersebut akan dilengkapkan.

Selain itu, kita akan mewujudkan think tank (kumpulan pemikir) yang akan memberi input serta nasihat kepada perkara terbabit atau permasalahan rakyat yang melibatkan pelbagai perkara termasuk ekonomi serta masa depan Kedah sendiri.

“Think tank ini akan diwakili oleh ketua-ketua dewan negeri, ketua-ketua wanita dan pemuda KeADILan dan DAP, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya Negeri.

“Kita mengharapkan penampilan baru ini dapat direalisasikan sebaiknya demi memantapkan gerak kerja berpasukan agar dalam pilihan raya umum akan datang, Kedah dapat diambil semula dari tangan BN,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan KeADILan Kedah, Dato’ Johari Abdul mengharapkan segala perancangan dapat digerakkan dengan lebih bersepadu.

Katanya, program jelajah penerangan perlu diadakan untuk menerangkan kepada rakyat berkenaan perkembangan negeri Kedah sekarang.

“Apa yang penting, program yang melibatkan parlimen dan Dun dapat disusun secara menyeluruh agar rakyat mendapat maklumat dan sekali gus boleh membandingkan Kedah dahulu dengan sekarang,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Tiada ulasan: