Jumaat, 5 Disember 2014

Najib jamin ringan beban rakyat jika harga minyak naik

 
Mekanisme apungan terkawal ini akan membawa penjimatan yang besar kepada kerajaan dan penjimatan ini bakal disalurkan semula kepada rakyat Malaysia.

najib 300


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, langkah apungan terkawal harga minyak yang diambil oleh kerajaan
adalah kerana harga minyak mentah dunia telah turun, yang mana paras subsidi tidak lagi perlu.

Jelasnya, sistem ini lebih memberi manfaat kepada rakyat, kerana harga minyak dalam negara akan turun mengikut harga pasaran minyak dunia.

“Namun, sekiranya harga minyak dunia meningkat dengan mendadak, kerajaan akan mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat,” ujarnya di dalam blog miliknya www.najibrazak.com

Tambah Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menjelaskan, pemansuhan subsidi pukal ini akan mengelakkan negara kerugian berbillion ringgit akibat daripada aktiviti penyeludupan dan pembelian minyak oleh warga asing yang tidak layak menerima subsidi yang ditanggung oleh pembayar cukai.

“Mekanisme apungan terkawal ini akan membawa penjimatan yang besar kepada kerajaan dan penjimatan ini bakal disalurkan semula kepada rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Pada 21 Nov lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Dis.

Bermula dari tarikh berkenaan, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Pada Isnin lepas, harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Tiada ulasan: