MARAN: Yayasan Amal Pahang menyahut seruan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff kepada aktivis dan sukarelawan agar turun bersama dengan kerahan tenaga membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menghantar misi bantuan semalam.
Naib Pengarah Yayasan Amal Pahang Ustaz Ramli Abdul Rahman ketika ditemui sebelum berlepas berkata, beliau bersama empat yang lain dengan dua kenderaan pacuan empat roda membawa bantuan makanan dan sumbangan kewangan ke Rantau Panjang.
“Kami akan berada di Rantau Panjang beberapa hari mengikut keperluan kerana air masih belum surut sepenuhnya,” katanya.
Ditanya kenapa memilih Rantau Panjang, Ramli yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran itu berkata, daerah tersebut paling teruk dilanda banjir kali ini jadi bantuan terpaksa ditumpukan ke situ terlebih dahulu untuk peringat pertama ini.
“Lagipun kami masih terhutang budi dengan Ketua Muslimat PAS itu yang datang melawat dan bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Pahang khususnya dalam Dun Chenor ketika begitu teruk dilanda banjir tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu Ramli berkata, Yayasan Amal Pahang mempunyai pengalaman membantu mangsa banjir sebelum ini dengan mencuci rumah dan masjid termasuk di Johor beberapa tahun lalu. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan