Isnin, 22 Disember 2014

Mangsa banjir di Kelantan perlu sokongan banyak pihak

SALMAH MAT HUSAIN 






RANTAU PANJANG: Oleh kerana tempoh banjir gelombang kedua di Kelantan kali ini agak panjang, mangsa memerlukan sokongan pelbagai pihak.

Untuk itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Pusat, Hafiz Musa berkata keperluan asas amat diperlukan oleh semua mangsa pada saat ini selain makanan.

Katanya, mereka amat memerlukan keperluan asas itu dalam keadaan sekarang di pusat pemindahan banjir.

Jelasnya, bekalan elektrik masih terputus, untuk itu lilin, keperluan asas lain amat diperlukan.

“Keperluan asas lain seperti alas tempat tidur, selimut untuk kanak-kanak dan orang tua selain lampin pakai buang, ubat-ubatan dan sebagainya juga amat diperlukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati mangsa banjir mengawasi anak-anak mereka sebaik-baiknya kerana arus banjir begitu kuat.

Hafiz seterusnya memberitahu, bantuan banjir juga harap disegerakan bagi mereka yang berhasrat untuk membantu.

Jelasnya lagi, pihaknya mengumpul Unit Amal dan jentera petugas ke tempat bencana banjir terutama Rantau Panjang.

Selain itu, mengumpul bekalan daripada kerajaan, orang ramai, NGO dalam bentuk sumbangan kewangan, keperluan asas kemudian diagihkan kepada mangsa.

Katanya, Pemuda PAS negeri turut membuka Bilik Gerakan di Syabab Point sebagai pusat pengumpulan sumbangan daripada orang ramai yang ingin menderma.

Beliau berkata kehadiran para pemimpin PAS Pusat yang turut turun ke negeri ini menggambarkan keprihatinan mereka terhadap mangsa banjir, antaranya Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Sementara itu, NGO kebajikan Mesra turut mengumpul tenaga petugas untuk diturunkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Penyelarasnya, Najibah Ismail berkata lebih 70 orang diperlukan untuk khidmat sosial itu sama ada untuk membantu mangsa banjir atau selepasnya.

Pada masa yang sama pihaknya juga turut bersedia menerima sumbangan orang ramai sama ada keperluan asas, termasuk pakaian baru dan terpakai.

“Orang ramai boleh menyumbangkannya di pejabat kami di Pejabat Urusetia Wanita Kelantan, Jalan Telipot,” ujarnya.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di negeri ini berkurangan sedikit daripada 18,570 orang malam tadi kepada 18,012 pagi ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: