Ahad, 21 Disember 2014

Kongsi pengalaman dengan kerajaan negeri

HARAKAHDAILY 






KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyarankan penjawat awam muda supaya menimba ilmu bersama penjawat awam yang lebih berpengalaman supaya dapat berkhidmat lebih cemerlang.

Menurutnya, pengalaman yang mereka perolehi hasil perkhidmatan lebih daripada 30 tahun di samping berkhidmat di beberapa negeri lain dapat dimanfaatkan untuk terus membangunkan Selangor.

Beliau juga mengharapkan penjawat awam yang bersara supaya dapat memberikan sumbangan pengalaman dan terus menjalinkan hubungan baik bersama kerajaan negeri, lapor Selangor Kini.

Katanya, dengan pengalaman selama berkhidmat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat merupakan nilai dan aset yang penting untuk dikongsikan dengan kerajaan negeri.

“Saya percaya pegawai muda ini harus belajar dan menimba ilmu dengan pegawai-pegawai yang telah bersara.

“Dengan pengalaman inilah akan membantu kerajaan negeri membangunkan negeri ini,” katanya pada satu majlis di Subang Jaya malam tadi.

Katanya lagi, penjawat awam perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi 2015 untuk memastikan Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang setakat ini berjumlah 23.7 peratus.

“Antara langkah perlu diambil dengan perubahan persekitaran yang begitu pantas ialah pimpinan dan penjawat awam perlu bekerja dengan lebih kuat, berinovasi bagi menghadapi cabaran ini,” ujarnya

Tiada ulasan: