Ahad, 7 Disember 2014

Kerajaan perlu bertindak isu gaji pekerja Bernama TV

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia memandang serius terhadap kelewatan pembayaran gaji kepada 20 perkerja Bernama TV (BTV).

Katanya, isu kelewatan pembayaran gaji ini berulang sejak dulu lagi sehingga sekrang belum ada tindakan yang diambil kementerian bagi mengatasinya.

"Pekerja BTV terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana masih belum dibayar gaji oleh majikan mereka sejak sebulan lalu.

"‎Pembayaran gaji terakhir yang diterima adalah pada 20 Oktober lalu dan sehingga sekarang mereka belum menerima gaji untuk bulan November.

"Ini suatu perkara yang mengecewakan kita (PAS), BTV merupakan milik kerajaan sepatutnya kerajaan telah sedar dari awal permasalahan yang berlaku dan bukannya membiarkan begitu sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, jika perkara ini gagal diselesaikan secepat mungkin kerajaan perlu memotong gaji Menteri Komunikasi dan‎ Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai inisiatif awal penyelesaian tersebut.

"Setiap pekerja mempunyai tanggungjawab masing-masing apatah lagi mereka yng telah berkeluarga.

"Isu gaji merupakan perkara pokok dalam sebuah organisasi, kenapa perkara ini boleh berlarutan sehinggakan pekerja terpaksa cuti.

"‎Nampaknya kerajaan tidak mengambil serius terhadap BTV bagi memastikan syarikat penyiaran milik kerajaan itu terus beroperasi seperti biasa," sambung beliau lagi.

Untuk makluman, isu kelewatan pembayaran gaji pekerja BTV bukan kali pertama berlaku, sebaliknya kelewatan telah berlaku pada bulan Julai, Ogos dan September.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery pada Oktober lalu berjanji akan menyelesaikan masalah ini sebelum akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: