MALAYSIAKINI
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mahu pihak polis tidak
terus berada dalam “sindrom penafian” berhubung persepsi negatif
terhadap integriti pasukan itu oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, proses menjaga integriti setiap anggota sepatutnya
bermula daripada ketua yang kemudiannya dicontohi oleh anggota di bawah.
"Ikan busuk bermula daripada kepala. Oleh kerana kita adalah kepala, kita kena jaga integriti itu.
"Bagaimana emosi, spiritual dan inteligen dikombinasikan untuk menjadikan diri kita bersih dan juga dilihat bersih.
"Ini memerlukan komitmen bersama. Persepsi negatif di luar sana, masanya
sudah tamat, untuk kita melakukan sindrom penafian terhadap apa yang
negatif berlaku kepada kita selama ini.
"Kita boleh menafikan, tetapi mata-mata di luar sana yang melihat, mulut
yang sentiasa yang terbuka bercakap, telinga yang menadah maklumat
turut maklum.
"Jangan fikir bahawa orang tidak tahu, apa yang kita lakukan," katanya
dalam ucapan merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis,
Komander dan Komandan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras
pagi ini.
Beliau turut merasmikan penjenamaan semula Jabatan Logistik PDRM kepada Jabatan Sumber Strategi dan Teknologi.
Berdepan kekangan
Dalam ucapannya juga, naib presiden Umno itu mahu persepsi berkaitan
jenayah mengingkat sekalipun kegiatan tersebut mengalami penurunan
sehingga 35 peratus menyebabkan pandangan bias oleh masyarakat terhadap
pihak berkuasa itu.
Sehubungan itu, Zahid mahu anggota polis mengkombinasikan kerohanian dan
emosi dan sekaligus dapat melihat persepsi negatif terhadap polis dapat
dikurangkan seperti zaman kegemilangan seperti zaman Tun Hanif Omar.
Dalam usaha mahu mengubah persepsi itu, Zahid mengakui PDRM berdepan
dengan kekangan dan kekurangan seperti peralatan canggih dan aset
mengikut peredaran zaman bagi membantu mengurangkan kegiatan jenayah di
negara ini.
Antaranya penggunaan kereta peronda yang lama yang tidak diganti dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV) beresolusi tinggi.
"Kita mahu peralatan moden, aset moden sesuai dengan kecanggihan
maklumat. Kita mesti berada dalam kesiapsiagaan untuk membanteras
jenayah dengan peralatan yang sepatutnya sewaktu menjalankan tugas.
"Kita mahu apa yang sepatutnya bukan bulan dan bintang," katanya sambil
menggesa semua pihak bersikap adil terhadap polis yang menjalankan
tanggungjawab yang diamanahkan tetapi berdepan dengan kekangan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan