Ahad, 14 Disember 2014

Hudud: Nasrudin gesa Putrajaya beri ruang kepada Kelantan guna media perdana

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan menggesa Putrajaya menyediakan platform bagi membantu kerajaan negeri Kelantan memberi penerangan berhubung pelaksanaan hudud menerusi media arus perdana.
 
Wakil rakyat PAS ini menegaskan kerajaan perlu memberi ruang agar penerangan berkenaan hudud dapat disampaikan secara meluas dan terperinci.
 
Ini kerana jelas Nasrudin, kerajaan PAS Kelantan tiada capaian di media arus perdana yang majoritinya dikuasai oleh pemerintah.
 
"Sepatutnya begitulah, kalau hudud itu benar-benar mahu dilaksanakan dan kerajaan telah pun memberikan komitmen untuk sokong maka yang paling penting sekali ialah membantu kerajaan Kelantan untuk memberi penjelasan terhadap kekeliruan dan juga salah faham orang ramai termasuk di kalangan bukan Islam.
 
"Bahkan orang Islam sendiri pun masih jahil tentang agama dan juga hukum Islam sendiri, jadi sepatutnya digunakan mekanisme dan semua saluran yang ada termasuk radio, televisyen dan akhbar arus perdana untuk kempen," katanya kepada Antarapos.
 
Akhbar tempatan 1 Disember lalu melaporkan, kerajaan pusat menegaskan tidak mempunyai sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan PAS Kelantan untuk membentangkan perkara berkaitan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini di Parlimen tahun depan.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jawatankuasa Teknikal Hudud Pusat tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan memandangkan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
 
Beliau berkata, Kelantan boleh membentangkan perkara itu di Parlimen pada bila-bila masa sekiranya sudah membuat persiapan rapi.
 
Namun Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan sehingga hari ini tidak mengambil langkah itu sambil menyifatkan hasrat kerajaan negeri Kelantan itu wajar diberikan sokongan padu oleh seluruh rakyat.
 
Beliau menambah rakyat di luar Kelantan juga perlu mendapat penjelasan mengenai undang-undang jenayah Syariah Kelantan.
 
"Tapi apabila kita lihat sekarang belum ada usaha-usaha sedemikian, hanya sekadar pengakuan atau suara daripada seorang menteri di Parlimen tapi belum ad a tindakan proaktif daripada pihak kerajaan.
 
"Jadi saya sendiri mendesak kerajaan supaya mengambil langkah yang proaktiflah sebagaimana dalam perkara-perkara lain yang berdepan dengan salah faham atau pun ketidakfahaman rakyat kerajaan boleh menggunakan semua instrumen penyiaran kerajaan kenapa tidak pada hudud?," soalnya.
 
Kerajaan PAS Kelantan perlu 'melobi' untuk raih sokongan Ahli Parlimen
 
Ditanya mengenai aras sokongan di Dewan Rakyat, Nasrudin menjelaskan kerajaan negeri Kelantan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih undian Ahli Parlimen apabila membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud bagi dilaksanakan di negeri itu kelak.
 
"Langkah yang pertama kerajaan negeri Kelantan kena bawa dulu, kemudian dalam masa yang sama kena berkempen atau pun berdakwah dan melobi apa yang patut supaya pihak-pihak lain memberi sokongan kepada hudud yang akan dibawa kelak.
 
"Saya ingat mungkin pada sidang dewan akan datang, itu langkah pertama...soal sokongan majoriti atau tak majoriti itu perkara kedua dan faktor mendatang atau luaran," katanya.
 
Selain itu, ujar beliau, kerajaan PAS Kelantan perlu melengkapkan segala keperluan yang sepatutnya agar tidak berdepan sebarang masalah nanti.
 
"Faktor yang paling penting sekali kerajaan Kelantan itu sendiri mesti bersungguh-sungguh, mesti menyelesaikan semua prasarana, kena selesaikan prosedur tertentu yang mana saya difahamkan sudah berada di fasa terakhir untuk membolehkan hudud itu dibentang," katanya.

Tiada ulasan: