Dr Mohd Hatta Mohd Ramli Dr Mohd Hatta Mohd Ramli
 
 
SUBANG JAYA - Ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Konvensyen Nasional DAP 2014 terjawab apabila beliau sebenarnya sedang mempengerusikan mesyuarat AJK Pas Pusat, hari ini.
 
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli yang mewakili parti itu bagaimanapun berkata tiada sebarang krisis atau salah faham pemimpin Pas itu dan kehadirannya itu mewakili sejuta ahli Pas.
 
"Hari ini dia (Hadi) mempengerusikan mesyuarat AJK Pas Pusat yang sedang di Pejabat Agung Pas Pusat. Saya mewakili Dewan Harian Pas Pusat datang ke mari, kepimpinan kita sedang bermesyuarat, ia adalah jadual mesyuarat tetap.
 
"Tiada (krisis),  saya rasa kehadiran saya ini mewakili keseluruhan jawatankuasa Pas Pusat dan sejuta ahli Pas," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen Nasional DAP di One City, di sini, hari ini.
 
Persoalan itu timbul apabila PKR dihadiri sendiri oleh bosnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali berbanding Pas yang hanya diwakili oleh AJK Pas Pusat sahaja.
 
Sebelum ini juga, Hadi acap kali dikritik khususnya pemimpin DAP kerana kerap kali tidak menghadiri ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR.
 
Malah isu ketidakhadiran itu turut mendapat perhatian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan pemimpin utama Pas itu akan hadir dalam mesyuarat badan itu pada masa akan datang.
 
Mengulas lanjut, Mohd Hatta juga mengakui dirinya berasa kerdil kerana rakan sekutunya, PKR menghantar orang nombor satu dan dua berbanding beliau sendiri.
 
"Saya berada kecil saja bila tengok Presiden PKR dan Timbalannya hadir pada persidangan DAP hari ini," katanya lagi.