MAS  
MAS


KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd melantik Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo), berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
 
Mueller, yang ketika ini merupakan CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan nasional Ireland, juga akan dicalonkan menyertai Lembaga Pengarah Malaysian Airline System Bhd (MAS) sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.
 
Dana pelaburan strategik kerajaan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly akan dicalonkan menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.
 
Pada masa yang sama, Mohammed Shazalli akan kekal sebagai CEO dan Pengarah Celcom Axiata Bhd.
 
Pencalonan Mueller dan Mohammed Shazalli menyertai Lembaga Pengarah MAS adalah susulan pelantikan Mohd Izani Ashari sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 12 September, 2014.
 
Lembaga Pengarah MAS, berkuatkuasa 1 Januari, 2015, akan dianggotai:
 
1. Tan Sri Md Nor Yusof (Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif);
 
2. Ahmad Jauhari Yahya (Pengarah Urusan/CEO Kumpulan);
 
3. Christoph R. Mueller (bakal CEO/Pengarah Bukan Eksekutif);
 
4. David Lau Nai Pek (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan);
 
5. Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif);
 
6. Mohd Shahazwan Mohd Harris (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif);
 
7. Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif);
 
8. Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif);
 
9. Tan Sri Sukarti Wakiman (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif);
 
10. Dr Mohamadon Abdullah (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif);
 
11. Mohd Izani Ashari (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif);
 
12. Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly (Pengarah Bukan Eksekutif); dan,
 
13. Datuk Fauziah Yaacob (Pengarah Gantian kepada Mohd Irwan Serigar/Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif).
 
Mengenai perkembangan lain, Khazanah Nasional juga mengumumkan pelantikan Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid sebagai Pengerusi Pusat Kemahiran Semula Korporat (CRC) yang dijadual dilancarkan pada 1 April tahun depan.
 
Shahryn Azmi dinamakan sebagai CEO CRC, manakala Datuk Boonler Somchit dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC.
 
Pelantikan Bashir, Shahryn dan Boonler akan berkuat kuasa 1 Januari 2015. - Bernama