Rabu, 10 Disember 2014

CEO MAS: Kalau kita kecil hati, bagaimana dengan Allah?

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Isu pelantikan warga luar sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) MAS turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju dengan kenyataan bekas PM, Tun Dr. Mahathir.

Pelantikan Christoph R. Mueller sebagai CEO itu bagi pendapat Mahathir sebagai satu penghinaan kepada rakyat Malaysia, seolah-olah tiada yang cerdik dan berkelayakan untuk menerajui syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata jika kita boleh berkecil hati kerana warga kita diketepikan, tidak berhakkah Allah untuk 'kecil hati' apabila undang-undangnya diketepikan.

Malah, Tuan Guru Nik Aziz menambah adakah Tun Mahathir baru menyedari bahawa negara kita sudah lama berkiblatkan Barat dalam urusan bernegara?

"Saya sokong Tun M dalam hal ini. Cuma saya ingin menambah, Tun M baru sedarkah bahawa kita telah berkiblatkan Barat sekian lama dalam urusan bernegara?

"Jika kita boleh kecil hati kerana warga kita diketepikan dan warga Barat diagungkan, tidak berhakkah Allah juga 'kecil hati' apabila undang-undang-Nya diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia didaulatkan?

Sayangnya, berpuluh-puluh tahun Tun M menjadi PM pun tidak diambil kesempatan untuk mendaulatkan undang-undang Allah SWT," seperti yang dimuatnaik dari laman Facebooknya.

Biarpun berdepan pelbagai kritikan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar tetap mempertahan tindakan Khazanah Nasional Bhd untuk melantik Mueller menerajui MAS.

Pengumuman Khazanah itu dikritik bukan sahaja oleh Pakatan Rakyat, malah oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sendiri.

Mahathir dalam reaksinya berhubung perkara itu berkata, perlantikan orang luar itu seperti telah memperakui bahawa tenaga tempatan sebagai bodoh.

Katanya, tindakan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tidak mempercayai kebolehan diri sendiri sehingga terpaksa melantik orang putih menerajui syarikat besar negara. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: