Ahad, 14 Disember 2014

Bernama TV dan senator UMNO terlibat langgar Akta Syarikat

teo nie ching_bernama

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Bernama TV  (BTV) melanggar Akta Syarikat apabila tidak pernah menyerahkan Laporan Kewangan Tahunan dan Laporan Audit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam kenyataannya hari ini mendedahkan hal itu, di samping menyatakan Senator UMNO Datuk Mohd Suhaimi Abdullah terlibat sebagai salah seorang pemilik saham BTV.

“Jadi, bukan sahaja badan berkanun, seorang Senator (UMNO) pun terlibat menzalimi kakitangan BTV.

“(Namun) tidak ada tindakan undang-undang diambil oleh SSM dan Kementerian Sumber Manusia.
“Apakah ini kerana pengaruh Datuk Suhaimi?” soal Nie Ching.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah juga adalah Ketua UMNO Bahagian Gunung Jerai.

Menurut Nie Ching, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 169 Akta Syarikat 1965, BTV yang dimiliki Bernama TV Synergy boleh dihukum lima tahun penjara atau denda RM30,000.

BTV juga boleh didenda tidak lebih dari RM 10,000 di bawah Akta Kerja 1955, kerana hanya membayar RM500 dari tunggakan gaji kakitangannya.

Dalam kenyataan yang sama juga, Teo menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan kakitangan BTV mendapat kembali semua jumlah gaji mereka yang tertunggak.

Kira-kira 30 kakitangan BTV kembali bercuti mulai semalam, kali kedua semenjak minggu lalu selepas mereka dibayar RM500 tunggakan gaji bagi bulan November.

Kakitangan di BTV yang beroperasi lebih empat tahun menyalahkan fokus stesen itu terhadap berita yang pro-BN bagi masalah kewangannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: