Isnin, 22 Disember 2014

Beberapa jalan di Gua Musang tak boleh dilalui

MALAYSIAKINI



 
 
 
Jalan Besar dan Jalan Pekan Lama di Bandar Gua Musang dilaporkan tidak boleh dilalui semua kenderaan berikutan air Sungai Chinda melimpah disebabkan hujan lebat sejak semalam.
 
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata jalan ditutup sejak pukul 7 pagi tadi.
 
Beliau berkata sehubungan itu pengguna yang mahu ke Kota Baharu diminta melalui Jalan Persiaran Raya.
 
Antara jalan lain yang ditutup kepada kenderaan ialah Jalan Chiku–Aring, Jalan Kampung Batu Papan, Jalan Pekan Lama dan Jambatan Kampung Kerinting berikutan limpahan Sungai Lebir, Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Ketil.
 
Kedaan itu menyebabkan lebih 200 penduduk di lima buah kampung berpindah sejak pukul 7 pagi tadi.
 
Saiful Bahri berkata kampung berkenaan ialah Kampung Batu Papan, Kampung Kuala Nerus, Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Lebir, Kampung Chiku 7 dan Kampung Limau Kasturi yang penduduknya kini berpindah ke pusat pemindahan.
 
Jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan didapati menurun sementara di Terengganu bertambah pada tengah hari, begitu juga di Pahang.
 
Di Kelantan, ia menurun kepada 16,181 berbanding 18,012 orang pada sebelah pagi.
 
Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa kini ditempatkan di 53 buah pusat pemindahan berbanding 56 pusat pagi tadi.
 
Jumlah keluarga yang terlibat juga menurun kepada 5,376 keluarga berbading 5,995 keluarga pada sebelah pagi.
 
Di Pasir Mas, jumlah mangsa menurun kepada 10,264 orang berbanding 11,930 orang pagi tadi di 31 buah pusat.
 
Di Tumpat, jumlah mangsa berkurang kepada 4,634 orang berbanding 4,712 orang di tujuh pusat pemindahan.
 
Namun jumlah mangsa di Kuala Krai meningkat sedikit kepada 417 orang berbanding 350 orang pagi tadi yang ditempatkan di empat pusat pemindahan. Di Pasir Puteh (556 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (251 orang/lima pusat pemindahan), Machang (19 orang/satu buah pusat pemindahan) dan Kota Bharu (40 orang/satu pusat pemindahan).
 
Paras air di sungai-sungai utama dilaporkan terus surut namun bacaan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 9 meter iaitu 10.42 meter.
 
Keadaan cuaca adalah mendung.
 
Di TERENGGANU, jumlah mangsa bertambah hampir 520 orang iaitu 5,205 pada tengah hari berbanding 4,687 pada sebelah pagi.
 
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, peningkatan berlaku di Daerah Dungun iaitu seramai 213 orang, Kemaman (289) dan Kuala Terengganu (14) orang.
 
Dungun mencatat paling banyak mangsa iaitu 2,242 orang, diikuti Kemaman (1,466 orang), Kuala Terengganu (909 orang), Besut (319 orang), Hulu Terengganu (211 orang), Marang (36 orang) dan Setiu (22 orang).
 
Sebanyak 41 pusat masih beroperasi iaitu tiga masing-masing di Besut dan Hulu Terengganu, Dungun (18), Kemaman (16), Kuala Terengganu (5), Marang (1) dan Setiu (2).
 
Di PAHANG, jumlah mangsa di Kuantan khususnya bertambah kepada 318 orang daripada 85 keluarga pada tengah hari berbanding 141 orang daripada 33 keluarga pagi tadi.
 
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, tiga pusat pemindahan yang ditutup Sabtu lepas kembali beroperasi iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai yang menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (lima mangsa daripada dua keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Pandan (tujuh mangsa daripada dua keluarga) yang dibuka pada 9 pagi dan 10.30 pagi tadi.
 
Lima lagi pusat pemindahan yang beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan (157 mangsa daripada 42 keluarga), Balai Polis Sungai Lembing (53 mangsa daripada 14 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating (31 mangsa daripada lapan keluarga), SK Sungai Ular (24 mangsa daripada enam keluarga) dan Balai Raya Kampung Chendor (19 mangsa daripada lima keluarga).
 
Tiga jalan utama di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Maran, Kilometer 24 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Jalan Bandar Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan.
 
Sementara itu Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada daerah lain yang merekodkan pemindahan mangsa banjir.
 
Laman web Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat (peringkat jingga) yang dikemaskini tengah malam tadi kini ditingkatkan kepada amaran peringkat merah.
 
Hujan sederhana kadang kala lebat dilapor di daerah Kuantan, Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin yang dijangka berterusan sehingga esok.- Bernama

Tiada ulasan: