Rabu, 24 Disember 2014

Apa lagi yang tak cukup, DAP tanya SPRM

MALAYSIAKINI


 


Tiada alasan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk tidak menyiasat penganugerahan projek jalan Kapit bernilai RM119 juta, kerana semua maklumat telah didedahkan, kata Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata demikian sebagai menjawab Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull yang menggesa beliau untuk memberikan maklumat lanjut, termasuk maklumat penerima, dan pemberi rasuah itu.

"Saya telah memberikan butir-butir projek yang terlibat.

"Apa lagi yang tidak SPRM mahu atau perlukan dari saya?" soal Chong, yang juga ADUN Kota Sentosa dalam satu kenyataan.

Chong menambah, beliau bagaimanapun tidak dapat menyediakan transaksi kewangan pihak yang terlibat kerana menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Sebelum ini, Shukri (kanan) menggesa Chong mengemukakan bukti terperinci bagi membantu siasatan terhadap projek pembinaan jalan tersebut.

Shukri berkata, SPRM tidak pernah menutup atau enggan menyiasat mana-mana aduan yang ada merit untuk disiasat.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini sebelum ini juga, beliau menegaskan SPRM bertindak secara telus, bebas, profesional dan tidak bersikap selektif.

Shukri juga berkata, jika tidak berpuas hati, Chong boleh menghubungi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan, iaitu badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Tiada ulasan: