Keadaan paras air di Jalan Tok Guru berhadapan Pasar Raya Bilion Mart Tanjung Chat sekitar jam 11.30 pagi ini. Keadaan paras air di Jalan Tok Guru berhadapan Pasar Raya Bilion Mart Tanjung Chat sekitar jam 11.30 pagi ini.
 
 
KOTA BHARU - Paras air Sungai Kelantan yang semakin meningkat sejak semalam kini telah melimpahi bandar Kota Bharu dan sedang memasuki laluan ke Pengkalan Chepa.
 
Tinjauan Sinar Harian di Jalan Tok Guru sekitar jam 10 pagi tadi mendapati air sudah dapat di laluan berkenaan, dan difahamkan laluan menghubungkan bandar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa itu ditutup sejak 9.30 pagi tadi.
 
Orang ramai, Zalman Ibrahim, 38, berkata,dia dalam perjalanan ke Jalan Sri Cemerlang terpaksa berpatah balik berikutan penutupan laluan tersebut.
 
"Paras air d laluan hadapan Pasaraya Billion Mart juga semakin naik, mungkin akan terus naik selepas ini, jadi saya memilih untuk berpatah balik bimbang sekiranya air terus naik dan saya terkandas di situ," katanya kepada Sinar Harian di sini.
 
Sementara itu, Penyelia Jabatan Pasaraya Bilion Mart, Mohd Kori Mohd Daud berkata, air mula melimpahi perkarangan pasar raya itu kira-kira jam 11 pagi.
 
Menurutnya, ketika tiba di premis berkenaan sekitar 10 pagi, air belum sampai ke pasar raya berkenaan, namun difahamkan memenuhi kedai makan bertentangan sejak jam 5 pagi.
 
"Air naik begitu cepat, kami sepatutnya menutup operasi hari ini berikutan kenaikan paras air,namun disebabkan permintaan dari para pelanggan, aktiviti perniagaan dilakukan namun untuk separuh hari sahaja," katanya.