Khamis, 24 Julai 2014

'Saya akan terus bekerja sehingga tidak jadi MB'

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah bertitah kepada beliau supaya dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya jawab pada Tuanku Sultan, akan terus bekerja sehingga tidak menjadi Menteri Besar,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Kampung Assam Jawa, di sini, semalam.

Ketika ditanya isu desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan beliau meletak jawatan, Abdul Khalid memberitahu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama dalam masa terdekat.

PAS dan DAP akan membawa keputusan PKR mencalonkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor pada mesyuarat peringkat tertinggi masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat parti selepas hari raya Aidilfitri nanti. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: