Khamis, 24 Julai 2014

PERKASA Selangor kutip derma bantu Kiki

MALAYSIAKINI


 


PERKASA Selangor hari ini menubuhkan satu akaun kutipan derma bagi membantu Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin, yang dikenali sebagai Kiki - wanita yang menarik perhatian rakyat Malaysia kerana membuli seorang warga emas di Kuantan minggu lalu.

Selasa lalu, Kiki dihadapkan ke Mahkamah Syesen Kuantan dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, kutipan derma itu dilancarkan menerusi Facebook NGO itu.

"Sejak kita lancarkan jam 3 pagi tadi, setakat ini (4 petang) kita (PERKASA Selangor) sudah mendapat kutipan lebih RM500 dari orang ramai," katanya sambil menambah ia bertujuan membantu ringankan beban Kiki kerana memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam kes tersebut.

Ditanya sampai bila kutipan itu akan dijalankan dan bagaimana derma itu akan diserahkan kepada Kiki, Abu Bakar beliau berbincang terlebih dahulu dengan pimpinan PERKASA Selangor.

Tambahnya, walaupun sedar tindakan itu akan menimbulkan kritikan banyak pihak, namun kutipan itu tetap akan diteruskan berlandaskan objektif NGO pendesak Melayu itu.

“Kalau tak berani terima kritikan, jangan sertai NGO. Kalau saya tak berani terima kritikan, PERKASA Selangor takkan buat kutipan ini untuk memperjuang bangsa Melayu dan agama Islam. Tak apa mereka nak kritik, kritiklah,” katanya.

Minggu lepas, Kiki bertindak memukul bonet kereta warga emas itu dengan kunci stereng berulang kali, selepas berlaku kemalangan kecil antara kereta Peugeot miliknya dengan kereta warga emas itu.

Insiden tersebut dirakam dan tersebar luas di laman sosial dan dikecam oleh banyak pihak.

Bagaimanapun, Kiki kemudiannya memohon maaf secara terbuka dalam satu temubual di sebuah stesen radio arus perdana

Tiada ulasan: