Sabah diceroboh Sabah diceroboh


SEMPORNA - Penduduk daerah ini diminta bertenang dan tidak panik berikutan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah berkurung serta mewujudkan laluan yang ditetapkan di perairan Pantai Timur Sabah.
  
Ahli Dewan Undangan Negeri, Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong berkata, keputusan kerajaan itu merupakan tindakan yang tepat pada masanya untuk memastikan keselamatan di kawasan tersebut lebih terjamin.

Katanya masyarakat di kawasan terbabit harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota pasukan keselamatan dengan mematuhi arahan dikeluarkan.

"Kita juga perlu memainkan peranan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat sekiranya terdapat anasir-anasir yang cuba menggugat ketenteraman awam khususnya mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka Puasa di Pulau Bumbum dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, perintah berkurung yang akan diumumkan itu bukan melibatkan semua kawasan dan sepanjang masa sehingga rakyat tidak boleh keluar rumah, tetapi ia hanya melibatkan kawasan dan masa tertentu sahaja.

Katanya langkah itu juga bertujuan untuk melengkapkan laluan yang telah ditetapkan selain memastikan ia tidak disalahgunakan oleh penjenayah dan penceroboh.

Jaujan turut menyarankan agar imam di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri Sulabayan mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan. - Bernama