Jumaat, 18 Julai 2014

Pemimpin Pakatan gesa tubuh badan siasatan antarabangsa

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Para pemimpin Pakatan Rakyat menggesa badan siasatan bebas antarabangsa ditubuhkan bagi menyiasat tragedi MH17 yang terhempas akibat ditembak di wilayah Ukraine dan mahu pihak yang bertanggung jawab dibawa ke muka pengadilan.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga 295 mangsa terbabit, mereka turut menggesa kebajikan keluarga mangsa diberi perhatian oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dan pihak berkuasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media melahirkan rasa terkejut dan kesedihan yang mendalam terhadap nasib yang menimpa pesawat MH 17.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan krew pesawat terbabit terutamanya 23 rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian itu.

Menurut Anwar, walaupun dilaporkan pesawat Boeing 777-200 MAS itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara di zon konflik di Ukraine, tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggung jawab.

Sehubungan itu, beliau mengutuk tindakan ganas itu dan menggesa pihak berkuasa antarabangsa mengadakan siasatan bebas dan menyeluruh serta membawa dalang yang bertanggung jawab ke muka pengadilan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menggesa Kerajaan Malaysia supaya melakukan siasatan menyeluruh terhadap tragedi ini.

PKR juga, tambah beliau berharap masyarakat antarabangsa khususnya di Rusia dan Ukraine, termasuklah puak pemisah pro-Rusia di kawasan terhempasnya pesawat MH17, akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat dan penyelamat antarabangsa.
 
"Seluruh keluarga PKR merakamkan salam takziah kepada kesemua keluarga mangsa tragedi ini, dengan doa agar kita semua sabar dan tabah dalam menghadapi saat yang cukup getir dan penuh dugaan ini," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa seluruh rakyat bersatu di belakang Perdana Menteri dan menyokong penuh gesaan beliau agar keadilan ditegakkan segera terhadap dalang tragedi tersebut.

Menurutnya, walaupun negara belum pulih daripada tragedi kehilangan MH370 yang telah masuk hari ke-132, rakyat negara ini sekali lagi dirundung kesedihan apabila satu lagi bencana membabitkan pesawat Boeing 777 berlaku dalam masa kurang dari lima bulan.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, beliau menyifatkan tragedi ini sebagai 'bencana antarabangsa' ekoran mangsa yang terkorban membabitkan warga sembilan negara iaitu Belanda (154 orang), Malaysia (43 termasuk 15 krew), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (9), German (4), Belgium (4), Filipina (3), Kanada (1) manakala 41 masih belum disahkan kewarganegaraan.

"Masyarakat antarabangsa perlu mengutuk dan menggesa badan penyiasat antarabangsa ditubuhkan terhadap jenayah menembak jatuh MH 17 dan membunuh 298 penumpang. Penjenayah perlu dibawa ke muka pengadilan sama ada ianya rakyat Russia, pro-Russia, pemisah Ukraine ataupun rakyat Ukraine," tegas beliau.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa Malaysia agar segera melancarkan usaha diplomatik antarabangsa terhadap tragedi MH17 bagi memastikan penyiasatan antarabangsa yang berwibawa dan menyeluruh.- HARAKAHDAILY,

Tiada ulasan: