Rabu, 23 Julai 2014

PAS cadang MAS nilai sendiri keselamatan laluan

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: PAS menyarankan Syarikat penerbangan Malaysia, MAS perlu membuat penilaian sendiri berhubung laluan penerbangannya dan jangan hanya bergantung kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semata-mata.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, pesawat MH17 masih melalui laluan Ukraine kerana ICAO memberi jaminan laluan itu selamat walhal negara tersebut sedang bergolak.

"Kita hanya bergantung kepada ICAO, tetapi disitu ada kawasan yang sedang berkonflik dan keadaan yang tidak tenang.

"Sama ada MAS atau Air Asia seharusnya ada penilaian sendiri. Kita juga tidak boleh bersandarkan kepada negara lain untuk laluan tersebut. Negara lain sudah alih laluan tersebut kerana tidak selamat," katanya.

Bahkan beliau juga mempersoalkan  apakah kedutaan negara Malaysia di negara itu diletakkan bersama wakil pertahanan agar diberi gambaran serius  keadaan konflik yang sedang berlaku.

"Saya bimbang laluan MAS Kuala Lumpur ke London yang melalui ruang udara Syria juga sedang bergolak.

"Saya tidak tahu laluan itu selamat atau tidak sebab ICAO kata ia selamat. Kita kena buat penilaian sendiri. Kalau berlaku di Syria?" katanya melontar persoalan.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar melihat perkara ini kerana ia sangat penting untuk memastikan tregedi MH17 tidak berulang demi keselamatan pesawat awam negara.

Berucap ketika membahaskan usul Tragedi Malang MH17, Mahfuz berkata insiden kedua-dua pesawat MAS MH370 dan MH17 adalah sebagai proses untuk Malaysia bermuhasabah serta mencari kelemahan dan kesilapan sepatutnya.

"Tragedi MH370 jelas ianya adalah kelemahan kita dari segi bacaan radar yang tidak berkesan. Begitu juga dengan MH17 penerbangan dilaluan betul tetapi selepas berlaku peristiwa 17 julai, kita boleh ubah laluan selepas Ukraine tutup ruang udaranya," katanya.

Mahfuz menyifatkan  kejadian yang menimpa MH370 dan kemudian MH17 sebagai  tregedi bersiri dan tidak mahu ianya berulang lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: