Selasa, 22 Julai 2014

MH17: Tiga wakil M'sia dalam pasukan penyiasat antarabangsa

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar tiga wakil pakar negara bagi menyertai pasukan penyiasat antarabangsa berhubung nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilapor berkata, dua darinya adalah dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) iaitu Kapten Philip Joseph Selvaraju, 42 dan Mohd Naemy Fahimy Mustapa, 38 manakala seorang lagi ialah Pengarah Kejuruteraan MAS,  Azahari Dahlan, 53.

Pakar-pakar tersebut dihantar selepas diminta oleh Organisation for Security and Cooperation in Europe (OSCE) yang kini mengetuai pasukan siasatan awal nahas itu.

Sebarang perkembangan, mereka akan melaporkan terus kepada Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Difahamkan kesemua mereka telah berlepas ke Kharkiv menggunakan pesawat pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada Khamis.

Pesawat malang itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: