Khamis, 24 Julai 2014

MH17: Sampel DNA 45 Keluarga Sudah Diambil - Subramaniam

Sampel DNA Jamillah Noriah Abg Anuar, ibu mangsa nahas, Ariza Ghazaleeat diambil di kediamannya di Kuching.

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Sampel DNA daripada 45 keluarga mangsa nahas pesawat MH17 sudah diambil, manakala dua lagi keluarga terbabit masih dalam proses pengumpulan data.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya dimaklumkan oleh syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bahawa terdapat 43 mangsa nahas MH17 yang mempunyai pertalian keluarga di negara ini.

Beliau berkata, sampel DNA yang diambil adalah daripada ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah kepada mangsa seperti ibu, bapa, anak atau adik beradik kepada mangsa.

“Bagaimanapun, ada mangsa yang menetap di luar negara tetapi mempunyai pertalian keluarga di Malaysia menjadikan jumlah keluarga yang akan dijalankan pengumpulan data ante mortem DVI dan sampel DNA adalah seramai 47,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Subramaniam berkata, bagi tujuan perkhidmatan rawatan perubatan, pasukan dari Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya diaktifkan untuk memberikan rawatan kepada ahli keluarga mangsa jika diperlukan.

Tragedi yang menimpa pesawat MAS itu mengorbankan 298 nyawa, termasuk 15 kru penerbangan itu apabila ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu pada 17 Julai lalu.

Ketika ini, proses saringan dan melabel mayat sedang dilakukan sebelum pasukan forensik menjalankan bedah siasat bagi mengesan punca kematian dan mengenal pasti identiti setiap mayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap proses membawa pulang mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dilaksanakan sebelum Aidilfitri.

Tiada ulasan: