Khamis, 24 Julai 2014

MH17: Mayat mungkin tidak sempat sampai sebelum Aidilfitri

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata mayat warganegara Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum sambutan Aidilfitri.

Perdana Menteri berkata ini disebabkan isu teknikal yang terlibat dalam proses pengesahan DNA.

"Saya rasa sedih kerana saya terpaksa memaklumkan perkara ini kepada keluarga berkenaan (tentang perkembangan ini)," katanya kepada pemberita selepas menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 orang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai, di kediaman Duta Belanda di Malaysia, Harry Molenaar, di sini.

Najib berkata proses pengesahan identiti mangsa perlu dilakukan mengikut prosedur ketat, dengan mengambil kira bukti diperlukan bagi kemungkinan pendakwaan.

"Kita tidak dapat mengelak daripada proses rumit dan ketat ini. Ini bagi memenuhi keperluan dari segi teknikal dan undang-undang," katanya.

Perdana Menteri berkata keseluruhan proses itu dijangka "mengambil masa beberapa minggu atau malah beberapa bulan."

Seramai 43 warganegara Malaysia adalah antara 298 penumpang dan anak kapal MH17 berada dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk.

Najib turut melahirkan rasa kesal kerana pasukan penyiasat antarabangsa masih tidak diberikan akses penuh ke kawasan kejadian.

"Saya marah kerana kami mahukan akses penuh (tetapi ini tidak berlaku).

Malangnya ia adalah kawasan zon perang, dan anda tahu bahawa di kawasan zon perang terdapat banyak sekatan yang pihak-pihak terlibat perlu hormati," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bincangkan perkara itu dengan Alexander Borodai, komander puak pemisah pro-Rusia di kawasan tempat pesawat itu terhempas, Najib berkata: "Tidak buat masa ini."

"Tetapi saya akan bercakap, mungkin dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dan akan menyampaikannya kepada Borodai," kata Perdana Menteri sambil menyatakan beliau sedar akan sensitiviti yang terlibat.

Sementara itu, dalam buku takziah itu, Najib menulis beberapa baris ayat bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada semua keluarga di Belanda yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH17.

"Kita turut merasai kesedihan dialami keluarga mangsa," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: