Selasa, 22 Julai 2014

MB: Bonus kepada kampung promosi program kemahiran teknikal belia

Oleh: LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM: Pimpinan komuniti kampung diharap membantu Kerajaan Negeri mempromosikan Program Kemahiran Tektikal Belia Luar Bandar dan menarik penyertaan belia.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sejak dilancarkan program berkenaan sehingga kini masih kurang mendapat sambutan walaupun disertakan dengan tawaran menarik.

Ihya Ramadhan MB di kediaman rasmi menteri besar (9)Oleh itu, katanya, kerjasama pihak ketua kampung dan jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK) diperlukan dalam membantu menarik penyertaan yang disasarkan.

“Kita akan memberi bonus kepada kampung-kampung yang dapat memberi sokongan yang sangat baik dalam program ini.

“Program ini sangat penting kerana jika golongan muda terkandas, bagaimana mereka dapat menjamin masa depan negeri.

“Sesungguhnya pengangguran belia adalah kerugian yang sangat besar,” katanya di hadapan lebih 200 hadirin di sini.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa, Ihya’ Ramadan bersama ketua kampung, AJK dan JKKK negeri Selangor yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Dalam majlis sama, beliau turut menerima sumbangan RM3,000 bagi pihak Tabung Kemanusiaan Palestin daripada Kesatuan Penghulu Penggawa Selangor.

Pada Mac lepas, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta setahun bagi pelaksanaan Program Kemahiran Tektikal Belia Luar Bandar yang mula dilaksanakan pada April tahun ini.

Belia yang terpilih akan dihantar mengikuti latihan teknikal dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun dan semua kos latihan termasuk elaun sara hidup akan ditanggung Kerajaan Negeri.

Mereka kemudiannya akan ditempatkan untuk bertugas di pangsapuri seliaan Kerajaan Negeri selepas tamat tempoh latihan dan akan menerima gaji minima RM1,500 selain sijil tamat latihan mengikut standard Australia .EZY

Tiada ulasan: