Ahad, 20 Julai 2014

Kelantan lancar rumah mesra OKU

MUHAMMAD YUSRI AMIN






KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Mumtaz Mad Nawi berkata Kerajaan Negeri akan membina rumah mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dalam projek bandar baru dirancang termasuk Bandar Baru Chiku, Gua Musang.

(Gambar atas:  YDP MPPOK Faizal menerima cenderahati daripada isteri Menteri Besar)

Langkah itu salah satu usaha bagi mengangkat agenda negeri menjadi negeri berkebajikan, yang ‘mesra OKU’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit berkata pihak Kerajaan  menerapkan kaedah mesra OKU dalam mana-mana polisi baru digubal Kerajaan Negeri.

Bercakap kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan dan majlis berbuka puasa bersama OKU di Balai Islam, Lundang dekat sini semalam, beliau berkata selain itu Kerajaan Negeri sedang berusaha mewujudkan kelas khas untuk dijadikan  ‘kelas mesra OKU’ di sekolah-sekolah utama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Menteri Besar Datin Siti Zubaidah Abd Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang Wan Ubaidah Omar.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) Mohamad Faizal Che Yusof.

Mumtaz berkata, penempatan beberapa unit rumah mesra OKU pada perancangan Bandar Baru Chiku, Gua Musang itu menjadi projek printis pada polisi baru digubal Kerajaan Negeri.

Difahamkan, perancangan pembangunan Daerah Gua Musang membabitkan pembukaan Pejabat Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Cawangan Bandar Baru Chiku, Lojing dan pembinaan Perumahan Fasa II Bandar Utama Gua Musang.

Bandar Baru Gua Musang kini sedang giat dibangunkan.

Pembinaan tersebut  pemangkin yang memacu pertumbuhan ekonomi  negeri ini, dari sebuah bandar ‘transit’ pelancongan menjadi bandar yang dimegahi, di bawah penguruan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Gua Musang.

Sementara Kerajaan Negeri sendiri mempunyai agenda bagi menjadikan sebuah negeri yang mesra OKU.

“Dan untuk itu, kita terapkan dalam semua polisi Kerajaan Negeri termasuk dalam perancangan membangun bandar baru termasuk Bandar Baru Chiku, Gua Musang.

“Untuk Bandar Baru Chiku, Gua Musang, kerjasama dan penyelarasan dibuat bersama pihak Ketua Jajahan Gua Musang, dan Insya-Allah pihak berkenaan membuat perancangan dan langkahan selanjutnya bagi membolehkan penempatan beberapa unit perumahan yang mesra OKU.

“Ertinya, perumahan yang sesuai untuk OKU termasuklah berdekatan masjid dan ‘lokasi centre’  serta rumah sesuai dengan ciri-ciri yang mesra OKU,” ujarnya.

Mengulas pendidikan kepada generasi masyarakat OKU di negeri ini, Mumtaz berkata pihak Kerajaan Negeri sangat  berhasrat mengadakan kelas khas untuk OKU.

Untuk tujuan itu, ia boleh dimulakan di mana-mana sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Sekolah yang mudah untuk diadakan kelas mesra OKU itu ialah di sekolah utama (di bawah YIK) seperti Maahad Muhammad, yang mungkin boleh menjadi printis,” ujarnya.

Beliau berkata masyarakat OKU kini dirasakan tidak lagi terasing, dan ini lebih memudahkan pihak Kerajaan Negeri  menggubal polisi yang lebih ‘mesra OKU’.

Mengulas bantuan kepada golongan OKU, beliau berkata Kerajaan Negeri menggubal ‘Skim Bantuan Maaruf’ yang berjalan sepanjang tahun’ yakni golongan sasaran terbabit diberi sumbangan antara RM300 hingga RM1,000 dalam bentuk wang tunai. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: