Sabtu, 6 April 2013

Umno Online: Kajian terbaru, sokongan bagi BN 62%

SINAR HARIAN

PRU13
PRU13
 
SHAH ALAM - Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat semakin meningkat berdasarkan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar transformasi politik dan   pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang empat tahun lalu, lapor Umno Online.

Portal itu memetik pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Samsul Adabi berkata, berdasarkan kajian Majlis Professor Negara, sokongan rakyat terhadap BN kini sudah meningkat lebih 62 peratus.

“Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Pilihanraya dan Demokrasi Universiti Malaya dan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, peratusan sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dari masa ke sama dan peratusan terbarunya mencecah 62 peratus.

“Berdasarkan kajian ini, ia memberikan mesej yang cukup jelas dan saya berkeyakinan peluang BN untuk menang dengan tahap selesa amat cerah,” kata beliau.

Jelas beliau, ini berikutan kejayaan gagasan 1Malaysia dan dasar transformasi politik dan kerajaan dibawa Najib yang dilihat sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat secara berterusan.

“Sebagai contoh gagasan 1Malaysia beserta program-program yang memberikan bantuan secara langsung kepada rakyat akar umbi telah banyak membantu menguatkan sokongan rakyat terhadap BN,” ujarnya.

Selain faktor tersebut, isu-isu yang ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat (PR) juga dilihat sebagai salah satu sebab mengapa sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat.

“Isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang hanyalah isu-isu sampingan dan bukan isu yang menyentuh induk pemerintahan. Contohnya isu rasuah, ia hanya melibatkan sesetengah individu tertentu dan bukannya pada pemerintahan pusat.

“Apatah lagi apabila pembangkang membuat kenyataan tentang isu Lahad Datu itu satu sandiwara yang ternyata bertentangan dengan pemikiran rasional rakyat.

"Begitu juga dengan manifesto Pakatan Pembangkang yang dilihat tidak bersifat realistik,” ujarnya.

Tiada ulasan: