Khamis, 11 April 2013

Saifuddin: PKR ada calon terbaik bagi Johor Jaya, Labuan

MALAYSIA CHRONICLE


SHAH ALAM - Proses perundingan kerusi Pakatan Rakyat (PR) yang dijalankan dengan mengambil kira tiga prinsip sudah memasuki peringkat akhir, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
"Rundingan kerusi di peringkat Pakatan Rakyat sudah memasuki peringkat terakhir.

"Hanya beberapa kerusi sahaja yang masih dirundingkan dan saya yakin ia akan dapat dimuktamadkan dengan sempurna menjelang hari penamaan calon pada 20 April 2013," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Saifuddin, proses rundingan kerusi selama ini dijalankan dalam penuh suasana persaudaraan di antara ketiga-tiga parti dengan matlamat yang sama iaitu membawa harapan rakyat dengan menggantikan Barisan Nasional sebagai Kerajaan Persekutuan yang baru.

"Oleh itu, proses rundingan telah menitikberatkan tiga prinsip utama," katanya.

Di bawah prinsip pertama, katanya, kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh sesuatu parti itu akan kekal di tangan parti masing-masing.

Katanya, kerusi-kerusi yang masih belum dimenangi oleh PaR secara amnya kekal dengan parti yang telah bertanding sebelum itu, tetapi boleh dirundingkan mengambil kira kepentingan bersama untuk menumpaskan Barisan Nasional.

Di bawah prinsip ketiga, kata beliau, parti yang mempunyai calon terbaik untuk memenangi sesuatu kerusi yang belum dimenangi sewajarnya diberi kelebihan demi kepentingan bersama untuk menumpaskan Barisan Nasional.

"Atas prinsip-prinsip inilah, PKR telah melepaskan kerusi-kerusi Parlimen Gelang Patah kepada Lim Kit Siang, Bentong kepada Saudara Wong Tack (kedua-duanya DAP) dan Temerloh kepada Nasrudin Hassan (Pas) agar calon yang terbaik dari Pakatan Rakyat boleh menumpaskan calon Pakatan Rakyat.

"Prinsip yang sama juga diguna pakai PKR dalam rundingan dengan rakan-rakannya dalam menetapkan pencalonan Datuk Chua Jui Meng sebagai calon Pakatan Rakyat di Parlimen Segamat," kata beliau.

Oleh yang demikian, kata beliau, PKR akan terus mempertahankan prinsip kepentingan bersama untuk menumpaskan Barisan Nasional dalam memuktamadkan rundingan kerusi-kerusi yang berbaki.

"Contohnya, PKR mempertahankan peluangnya untuk bertanding di kerusi Dun Johor Jaya kerana calon yang bakal ditampilkan oleh PKR adalah lebih berwibawa, berkelayakan, berpengalaman dan berpeluang tinggi untuk menewaskan calon Barisan Nasional.

"Beliau adalah seorang peguam di dalam pertengahan 30an yang telah berkhidmat melalui Pusat Khidmatnya sendiri di Dun Johor Jaya berbanding calon yang dicadangkan oleh DAP," katanya lagi.

Begitu juga calon yang bakal ditampilkan di Parlimen Labuan adalah seorang tokoh besar dari Sabah yang diyakini bakal menumpaskan calon Barisan Nasional, berbanding rekod Pas yang sebelum ini hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum ke-12, kata Saifuddin.

"Matlamat bersama di dalam Pakatan Rakyat adalah menumpaskan Barisan Nasional. Saya yakin matlamat ini jugalah; berdasarkan tiga prinsip yang memacu proses rundingan kerusi selama ini; akan berjaya memuktamadkan rundingan kerusi sesama Pakatan Rakyat dalam penuh semangat persaudaraan," katanya lagi.-sinarharian.com

Tiada ulasan: