Salmah Mat Husain & Muhd Yusri Amin, |
JELI: Kegagalan
calon BN bagi kerusi parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa menyerahkan
borang pencalonan pagi tadi dianggap Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai
mengejutkan.
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu berkata, watikah telah pun diserahkan kepada Che Johan sebelum hari penamaan calon.
“Ini satu peristiwa yang mengejutkan kami dan
kita perlu siasat kenapa perkara ini berlaku. Diharap siasatan dapat
disegerakan. Ini adalah maruah parti dan kita mengharapkan calon parti
kita bertanding,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di
Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli pagi tadi.
Pada penamaan calon di Pasir Mas, Che Johan yang
juga Timbalan Ketua Umno Pasir Mas biar pun datang ke tempat penamaan
calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, namun tidak menyerahkan
borang pencalonan.
Ekoran itu pertembungan di kerusi tersebut satu
lawan satu antara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan Ustaz Nik Abduh
Nik Abdul Aziz daripada PAS.
Mustapa berkata, peristiwa yang berlaku itu membimbangkannya.
“Yang membimbangkan saya, kita sebuah parti yang
besar BN, tak bertanding, maka itu sebab perlu segera mengadakan
pertemuan dengan Biro Politik BN untuk mengatur strategi di Parlimen
Pasir Mas,” ujarnya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Mohd
Amar Abdullah berkata, apa yang berlaku di Pasir Mas itu dianggap
sebagai ‘khianat’ dan menipu penyokongnya sendiri.
“Ini petanda BN akan terus dipinggirkan rakyat
di negeri ini. Nasihat saya kepada penyokong BN tidak perlu keluar
mengundi kerana mereka tidak ada calon di Pasir Mas.
“Mereka nak undi siapa, Dato’ Ibrahim bukan
calon mereka, tetapi beliau bertanding atas tiket Bebas,” ujarnya ketika
ditemui di pusat penamaan calon di Pengkalan Chepa.
Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Hanifa Ahmad
berkata, peristiwa yang berlaku tersebut begitu mengejutkan pemimpin dan
penyokong Umno yang hadir pada perarakan calon.
“Kemungkinan ia bukan satu taktik Che Johan,
tetapi mungkin arahan daripada pihak atasan dengan harapan Ibrahim boleh
menang,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, pasukan kempen bekas Ketua Umno Pasir Mas dalam kempen mereka menganggap Ibrahim adalah calon boleh menang.
“Saya lihat sendiri Che Johan hadir bersama
pencadang dan penyokongnya di pusat penamaan calon, namun sehingga
pencalonan ditutup pada jam 10 pagi tadi, hanya diisytiharkan dua calon sahaja.
“Dan saya yakin dia tidak serah borang
pencalonan. Jika dia serah borang dan diisytiharkan bertanding, maka
berlakulah pertandingan tiga penjuru di antara PAS, BN dan Bebas,”
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan