Sabtu, 6 April 2013

MB Kedah sifatkan insiden jatuh ‘petanda baik’

Wartawan Sinar Harian
Azizan Abdul Razak
Azizan
 
ALOR SETAR - Spekulasi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali sakit selepas jatuh kelmarin di Kuala Lumpur, terjawab apabila beliau kelihatan sihat ketika hadir di Istana Anak Bukit bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dun Kedah.

Beberapa akhbar dan blog kelmarin melaporkan, mengenai Azizan dikatakan jatuh ketika menuruni anak tangga selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di Petaling Jaya.

Malah ada yang mendakwa Azizan kini nazak dan kembali sakit sejurus kejadian itu.

Azizan ketika ditanya perkara itu sebaliknya hanya ketawa kecil, sambil menyifatkan ‘itu petanda baik’.

“Orang nak menang pilihan raya memang macam tu, pijak anak tangga kedua terus, langkau satu anak tangga,” katanya.

Menurutnya, beliau tergelincir kerana anak tangga itu diperbuat daripada batu marble, menyebabkan pandangannya terganggu.

“Saya tergelincir sahaja. Kereta empat tayar pun boleh terbalik, takkan manusia dua kaki jatuh pun jadi isu. Saya tidak biasa dengan tempat tu, nampak sahaja kereta, terus pijak langkau anak tangga. Ada pula tulis saya pengsan, tak betul tu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Azizan menuruni tangga ibu pejabat PKR menuju ke kenderaannya tetapi tiba-tiba tersadung sesuatu lalu hampir terjatuh.

Tiada ulasan: