Sabtu, 13 April 2013

Jika BN masih berkuasa, untungnya secupak ruginya segantang



Oleh Aspan Alias

Apabila kita sakit kaki, kita mesti ubati penyakit di kaki itu. Kalau kita sakit mata kita ubati penyakit mata sampai sembuh. Tidak betul cara pengubatan jika kita sakit mata di berikan ubat sakit lutut. Umno sedang menyuruh rakyat makan ubat yang tidak kena dengan penyakitnya.

Itu sebabnya Umno memberikan BRIM kononnya untuk memperbaiki taraf hidup satu keluarga rakyat miskin. Bermacam-macam diberikan kepada rakyat secara ‘one off’ sedang Umno dalam keadaan panik menghadapi pilihanraya ini.

Oleh kerana rasa sakit oleh Umno itu terasa di setiap tompok dibatang tubuh Umno itu terpaksa diberikan ubat. Bagi keluarga yang kurang dari RM3000 keluarga tersebut di berikan BRIM sebanyak RM500 dan setakat ini BRIM telah diagihkan dua kali jumlahnya. Pemandu teksi diberikan empat tayar percuma, jururawat diberikan pembayaran khas sebanyak RM200 dan berbagai-bagai lagi pemberian ‘one off’ ini. Ini merupakan satu bentuk rasuah pilihanraya yang berlaku dan BN mengharapkan pemberian ini akan memberikan lonjakan sokongan terhadap BN dalam pilihanraya ini.

Tetapi ini hanyalah merupakan tindakan yang di ibaratkan sebagai pemberian ubat tahan sakit sahaja. Pemberian BRIM misalnya hanya dapat membayar satu saman keatas kenderaan orang ramai dan bagi mereka yang terlalu susah, pemberian BRIM ini boleh membawa mereka ke pasar untuk merasakan masakan lazat yang jarang-jarang mereka rasakan itu buat seminggu dua.

Umno tidak berdaya untuk menyembuhkan penyakit. Penyakit dan sakit itu adalah dua perkara yang berbeza. Pemberian BRIM dan lain-lain bayaran secara ‘one off’ itu hanyalah boleh menghilangkan kesakitan buat sementara waktu sahaja. Umno gagal untuk menyelesaikan penyakit sebenarnya.  Jika seseorang merasa sakit kepala ia boleh diberikan sebiji dua panadol.

Begitu juga jika kita merasakan sakit telinga dan merasa tegang di tengkok. Semua sakit yang saya sebutkan itu boleh digunakan panadol untuk menghilangkan rasa sakit itu. Tetapi sebenarnya panyakit yang dihadapi oleh orang yang selalu merasa sakit di kepala dan tegang di tengkok itu, di sebabkan oleh penyakit darah tinggi. Penyakit inilah yang perlu disembuhkan. Apabila penyakit darah tinggi itu sembuh, kita tidak akan merasa sakit di tengkok dan kepala tadi.

Inilah dia yang berlaku kepada Umno. Apa yang Umno berikan kepada rakyat itu adalah semata-mata untuk menghilangkan sakit sementara sahaja dan jelas ia diberikan kepada rakyat sekarang ini agar semasa mengundi nanti pengundi-pengundi ini tidak terasa apa-apa kesakitan. Jika rakyat merasa kesakitan selepas setelah memenangi pilihanraya nanti, maka mereka (Umno) tidak akan terjejas lagi kerana mereka mempunyai lima tahun lagi sebelum memberikan ubat tahan sakit sekali lagi.

Penyakit tetap tidak terubat walaupun rasa sakit tadi hilang buat sementara oleh kerana makan ubat tahan sakit tadi. Oleh kerana pemberian ubat tahan sakit itu terlalu kerap maka banyak kesan sampingan dialami oleh pesakit-pesakit tadi. Terlalu kerap makan ubat tahan sakit selalunya akan merosakkan buah pinggang kita dan mungkin merosakkan hati dan limpa kita. Akhirnya jika diteruskan juga pemberian ubat tahan sakit ini maka hampir keseluruhan tubuh kita akan menghadapi berbagai-bagai penyakit sampingan. Kalau tidak percaya tanyalah Dr Mahathir kerana beliau seorang doktor. Tapi jangan tanya sekarang, tanya beliau selepas pilihanraya nanti.

Penyakit sampingan yang lain akan tetap berlaku jika kita termakan ubat tahan sakit ini. Di antaranya ialah penyakit yang dinamakan ‘Goods and Services Tax (GST)’ selepas pilihanraya nanti. Oleh kerana terlalu terpengaruh dengan ubat tahan sakit tadi, maka kesan sampingan yang pasti kita hadapi ialah pembayaran cukai yang dinamakan GST dan ia akan dikenakan kepada setiap barangan yang kita beli selepas ini.

Berbagai-bagai cukai akan terpaksa dibayar oleh rakyat. Oleh kerana terpengaruh dengan pembayaran BRIM dan sebagainya ini maka akhirnya mereka akan dibebani oleh tanggungjawab percukaian yang tidak habis-habis dari kerajaan. Bak kata perpatah, ‘untungnya secupak, ruginya segantang’. Perlaksanaan pembayaran GST ini ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya.

Umno telah melakukan kepada rakyat seperti orang kampung menangkap ayam untuk di sembelih. Mula-mula ditaburkannya beras sehingga bawah sangkar yang telah di gantung. Apabila sampai sahaja ayam yang mengikut beras tadi di bawah sangkar itu maka sangkar itu akan memerangkap ayam itu dan terus sahaja disembelih dan dimasak dengan selazat-lazatnya. Ayam tadi dijadikan lauk yang enak. Itulah yang akan terjadi kepada orang ramai. Itulah yang akan dilakukan terhadap semua rakyat tidak kira yang kaya atau yang miskin.

Mengenakan GST ini mungkin ada juga baiknya jika premis pelaksanaan berlandaskan kepada situasi yang baik. Tetapi penyakit yang akan terus menerus berlaku ialah perlakuan rasuah yang tidak terkawal. Isu rasuah ini tidak mungkin boleh dihapuskan oleh pemerintah sekarang  kerana semua di antara mereka yang memerintah sekarang ini terlibat secara terus atau secara tidak langsung dengan rasuah yang besar-besaran. Bagaimana perasuah mampu untuk menyelesaikan isu rasuah?

Ini lah sebesar-besar panyakit sampingan jika kita terpengaruh dengan ubat tahan sakit yang telah diberikan kepada rakyat sekarang ini. Perkosaan terhadap perbendaharaan kerajaan akan lebih hebat lagi. Mereka akan berkeyakinan yang melakukan rasuah itu boleh diteruskan kerana rakyat tetap akan memberikan sokongan dalam setiap pilihanraya.

Memberikan sokongan kepada Umno itu bermakna kita membenarkan rasuah dilakukan berterusan. Itu sahaja mesej nya jika rakyat masih memberikan sokongan kepada BN dalam pilihanraya kali ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: