Demikian reaksi Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman ketika diminta mengulas desas-desus kononnya beliau akan bertanding menentang veteran DAP Lim Kit Siang bagi kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13.
Walaupun diasak bertalu-talu oleh pemberita sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Serom atau bertanding di tempat baharu, Abdul Ghani dengan tenang menyatakan beliau menyerahkan semuanya untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Datuk Seri Najib akan meneliti semua calon yang telah dicadangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Sikh di sini hari ini.
Sejak perdana menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada Rabu lepas, Abdul Ghani mengelak bertemu media lebih-lebih lagi apabila terdapat spekulasi beliau bakal melepaskan jawatan nombor satu dalam negeri Johor itu bagi memberi
laluan kepada muka baru.
Abdul Ghani yang merupakan Adun Serom dan hampir empat penggal memegang jawatan Menteri Besar, dikatakan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah kerana disifatkan calon paling layak menentang Kit Siang.
Berikutan itu, beberapa nama disebut-sebut untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar antaranya Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang.
Mengenai senarai calon Barisan Nasional (BN) di negeri ini, Abdul Ghani berkata, ia akan diumumkan lebih awal selaras dengan kenyataan Najib bahawa nama calon BN akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
"Sebelum ini kita umum sehari sebelum penamaan calon sebab kita dapat senarai (nama) dua hari sebelum penamaan. Tetapi kali ini kita akan umumkan awal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan