KL TODAY
LAHAD DATU:
Daerah Kunak perlu dijadikan agenda penting dalam transformasi negara
dan negeri ini dalam menjadikan daerah tersebut sebagai sebuah daerah
maju dan membangun. Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Kasman
Karate, berkata agenda tersebut termasuklah memperluaskan semula
penstrukturan jajaran komunikasi dan jaringan perhubungan agar selaras
dengan perkembangan semasa negara.
“Saya
begitu yakin bahawa, Kunak boleh dijadikan daerah kecil yang menjadi
contoh kepada daerah-daerah kecil yang lain terutama di Sabah ini.
“Kunak
turut memerlukan sebuah kepelbagaian kepakaran dalam bidang pembangunan
yang akan menjadi asas kepada kemajuan dan kemudahan penduduk,” jelas
beliau dalam sidang media di Bilik Gerakan MTD N.51 Kunak, dekat sini
pagi tadi.
Katanya,
perkara tersebut bukan merupakan perkara baru malah telah tercatat
dalam buku Sejarah Malaysia dan turut disahkan oleh para arkelogi
bahawa Kunak dijadikan tapak kegiatan manusia purba dan salah satu
tempat pra-sejarah di mana zaman kewujudan manusia pertama di Tingkayu.
”Kunak
bukan sahaja kaya dengan pelbagai sumber asli dan hidupan marin, tetapi
Kunak juga merupakan sebuah daerah kecil yang kaya dengan kisah
sejarah.
“Sejarah Kunak perlu diterokai dan dijadikan sumber tarikan para pelancong,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Silam.
Ujarnya,
agenda pembangunan daerah tersebut dijadikan keazaman dan tekad beliau
untuk terus berkhidmat kepada lapisan masyarakat terutama golongan muda
yang memerlukan latihan serta bimbingan.
“Masalah
yang timbul sama ada di kalangan generasi muda ini, memerlukan langkah
penyelesaian yang konkrit bagi menjamin masa depan mereka di kemudian
hari.
“Saya
melihat bahawa golongan belia tidak diberikan peluang dan tempat yang
sewajarnya. Ramai di kalangan golongan ini tidak mempunyai pekerjaan
dan hanya bekerja secara sampingan untuk mencari pendapatan,” jelasnya.
Kasman turut mempersoalkan pengaliran peruntukkan yang diperuntukkan kepada golongan anak muda di daerah ini.
“Saya
mewakili suara anak muda ingin mempersoalkan ke mana perginya
peruntukan yang diberikan untuk melaksanakan program-program anak muda,”
kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan