Rabu, 3 April 2013

Calon BN Negeri Sembilan dalam proses saringan

 
Kita akan menyiasat serta menyelidik latar belakang calon tersebut, kata Menteri Besar Mohamad Hasan.
 


SEREMBAN: Senarai calon Barisan Nasional di Negeri Sembilan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti masih dalam  proses saringan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menegaskan, “kita dah hantar senarai nama calon tetapi masih di peringkat awal lagi. Ada beberapa nama calon yang masih  dibincangkan dan sebelum nama calon itu dimuktamadkan.

“Kita akan menyiasat serta menyelidik latar belakang calon tersebut dengan melakukan saringan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM), insolvensi (bangkrap) dan rekod jenayah.”

“Ada juga beberapa nama calon yang dihantar telah melepasi beberapa saringan tersebut dan terserah kepada pucuk pimpinan parti yang  akan memuktamadkan calon PRU nanti,” kata Mohamad merujuk kepada pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun  Razak di Pejabat Perdana Menteri minggu lepas.

Mohamad juga menasihatkan ahli parti agar menghormati nama calon yang dimuktamadkan oleh Perdana Menteri.

“Apabila Perdana Menteri memutuskan nama calon sebagai wakil parti untuk bertanding dalam PRU nanti, maka calon itu kita perlu  sokong untuk memenangkan parti.

“Semua ahli parti mesti memberi sokongan kuat kerana paling penting parti menang. Calon adalah mewakili parti yang bertanding,” ujar  beliau.

Sementara itu Mohamad juga menegur bahawa ada calon yang sudah tiga kali kalah pada PRU lalu, masih ada hati untuk bertanding pada  PRU-13 nanti.

“Mungkin pemimpin seperti ini berpendapat mereka adalah calon winnable candidate (calon mampu menang) walaupun pernah kalah.

“Dah tiga kali kalah pun masih ingat winnable candidate,” katanya namun beliau tidak menamakan siapakah pemimpin yang beliau  maksudkan.

Sebelum ini Mohamad pernah menegur ahli Umno di peringkat cawangan yang dikesan berdiri di pentas pembangkang dan berkempen  untuk menjadi calon bagi parti pembangkang, walaupun masih ahli Umno.

Mohamad menasihatkan jika mereka tidak mahu lagi jadi ahli Umno, isytihar awal-awal dan disaran keluar parti. Mereka berhak memilih  sama ada mahu menjadi ahli DAP, PAS atau PKR.

Tiada ulasan: