Ahli MCA yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat, kata Dr Chua
Oleh Amin IskandarPenolong Pengarang Berita
KUALA LUMPUR — Mana-mana ahli MCA yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat secara serta-merta, kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar).
Menurut presiden MCA itu, parti tersebut tidak akan membenarkan mana-mana ahli bertanding sebagai calon bebas kerana ianya melanggar perlembagaan parti.
“MCA sejak awal lagi telah mengingatkan ahli parti bahawa sesiapa sahaja yang mensabotaj kempen pilihan raya akan dibatalkan keahliannya dan tiada rundingan dalam isu ini,” kata Dr Chua dalam satu kenyataannya hari ini.
“Parti tidak akan bertolak ansur dengan ahli yang bertanding sebagai calon bebas termasuk ahli parti Yoong Tham Fook yang bertanding sebagai calon bebas di Kuala Kubu Baru,” tambah beliau lagi.
Beberapa kejutan dapat dilihat ketika hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kali ini apabila beberapa pemimpin sama ada daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dipecat kerana mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas.
Beberapa nama besar daripada BN seperti Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim telah dilucut jawatan apabila bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Selain itu, bekas timbalan menteri Umno, Datuk Seri Mohd Shariff Omar juga telah dilucut jawatan apabila bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas.
Bagi PR, dua pemimpin DAP turut mengambil tindakan sama, apabila bertanding sebagai calon bebas selepas nama mereka tidak terpilih sebagai calon untuk PRU 13 kali ini.
Antaranya adalah Jenice Lee, yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, yang mahu mempertahankan kerusinya selepas DAP tidak mencalonkan namanya, serta Sim Tong Him, yang bertanding atas tiket bebas di kawasan DUN Laksamana.
MCA menang 15 daripada 40 kerusi parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya 2008; tujuh daripadanya terletak di Johor.
Dalam Pilihan Raya 2013, MCA turut “meminjamkan” kerusi Parlimen mereka di Gelang Patah dan Wangsa Maju untuk ditandingi oleh rakan komponen BN mereka iaitu Umno.
Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung pada 5 Mei ini juga bakal menyaksikan sama ada MCA mampu untuk menggembalikan sokongan masyarakat Cina terhadapnya ataupun menerima risiko hilang relevansi di kalangan masyarakat kedua terbesar di Malaysia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan