Sabtu, 8 Disember 2012

Politik samseng: Elak peristiwa Kg Baruh Piyar 1969

SAPINAH ABD GHANI

Mohd Amar Abdullah
Datuk Mohd Amar Abdullah
 
KOTA BHARU - Tindakan pihak tertentu yang menggunakan samseng dalam berpolitik mengingatkan masyarakat Kelantan terhadap peristiwa membakar jambatan di Kampung Baruh Piyar, Gual Periuk pada 1969.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dalam situasi pada ketika itu,  kumpulan samseng digunakan bagi menghalang kemaraan Pas di Kelantan.

“Kumpulan samseng digunakan secara meluas terutamanya di Rantau Panjang sehingga mereka menghalang penduduk mahu keluar mengundi dengan membakar sebuah jambatan.

“Malah mereka terpaksa dikawal anggota tentera untuk balik daripada mengundi di Gual Periuk pada 1969,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian pergaduhan di ceramah Pakatan Rakyat di Gombak sehingga ada penyokong parti yang cedera.

Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, tanda-tanda Umno kehilangan kuasa semakin jelas sehingga mereka melakukan sesuatu seperti orang hilang pedoman.

“Mereka terlalu takut dengan kekalahan, oleh itu, rakyat mesti menolak parti yang mengamalkan budaya politik samseng termasuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, tindakan Umno melewat-lewatkan pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) jelas menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak yakin dengan keupayaannya.

“Ini perkara luar biasa yang berlaku di negara kita sekarang. Ia menimbulkan persoalan besar kepada masyarakat. Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pilihan raya lewat macam ini,” katanya.

Tiada ulasan: