Jumaat, 7 Disember 2012

Musa: Polis patut hentikan keganasan di Gombak

 
Polis sepatutnya boleh menghidu lebih awal akan sebarang kewujudan unsur provokasi dan bertindak tegas menghalang ceramah terbabit.



SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegur sikap polis menangani insiden ceramah politik di Gombak kelmarin sehingga menyebabkan kecederaan orang awam.

Beliau berkata, polis sepatutnya boleh menghidu lebih awal akan sebarang kewujudan unsur provokasi dan bertindak tegas menghalang ceramah terbabit.

“Polis patut halang pihak lain mengganggu ceramah dan jangan biarkan  pertumpahan darah berlaku.

“Jangan benarkan pihak lawan buat tempat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas menjadi panel dalam wacana Sinar Harian

“Politik Samseng: Dimana Maruah Kita” di Kompleks Karangkraf di sini petang tadi.

Turut menjadi panel Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-Undang PAS Hanipa Maidin.

Katanya, undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012 yang tidak lagi memerlukan permohonan permit secara tak langsung menyebabkan keselamatan menjadi longgar dan mengurangkan kuasa polis memantau aktiviti ceramah.

Dalam kejadian malam Selasa lalu, dua orang penyokong Pakatan Rakyat serta seorang penyokong BN cedera dalam satu pergaduhan di ceramah di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan semalam dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mencabar pihak berkuasa dan menjadikan institusi PDRM sebagai musuh.

“Saya nasihatkan kalau ada ceramah politik jangan bergaduh, tak elok,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menolak cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat salah laku anggota polis di negara ini.

Katanya, wujud klausa dalam IPCMC yang tidak adil apabila tidak memberikan peluang kepada polis membela diri di mahkamah.

“Sedangkan penjenayah yang dihukum diberi peluang untuk bela diri dimahkamah, polis yang dikenakan tindakan disiplin pula tidak dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: