Rabu, 24 Jun 2009

Wanita didakwa menyamar doktor

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Seorang wanita bekas pembantu klinik, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua tuduhan menyamar sebagai doktor sambilan menggunakan nama Dr Nina di dua klinik di sini antara 2007 dan 2008.

Khiron Mansor, 47, didakwa menyamar sebagai doktor sambilan di Klinik Bandaran di Seksyen 15 dan Klinik Anis di Seksyen Dua menggunakan sijil Perakuan Amalan Tahunan milik doktor lain.

Khiron didakwa menyamar sebagai doktor sambilan di Klinik Bandaran dan menerima bayaran upah mengikut jam sebanyak RM390 pada 2 September 2007 dan 31 Oktober 2007.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama di Klinik Anis dengan menunjukkan sijil Perakuan Amalan Tahunan milik doktor lain dan menerima upah bayaran mengikut jam sebanyak RM470 pada 9 Mac 2008 dan 26 Mac 2008.

Ibu kepada empat anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan itu dan minta dibicarakan.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menetapkan 8 Julai untuk sebutan kedua. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din, manakala tertuduh diwakili Peguam, Bustaman Mansor.

Afifah membenarkan Khiron dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 bagi dakwaan menipu Klinik Bandaran dengan seorang penjamin dan RM2,500 untuk tuduhan menipu Klinik Anis, juga seorang penjamin.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu untuk mendapatkan bayaran dan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing, berkata tertuduh ditahan di sebuah klinik di Bukit Sentosa ketika menyamar sebagai doktor sambilan pada 3 Jun lalu.

Katanya, penyamaran wanita itu terbongkar apabila seorang doktor di klinik itu memeriksa sijil perakuan dan mendapati nama yang digunakan pada sijil itu milik doktor lain yang mempunyai klinik di sini.

Chong berkata, wanita itu bijak menyamar dan tahu tugas seorang doktor kerana pernah bekerja sebagai pembantu klinik selama beberapa tahun di beberapa klinik.

“Siasatan mendapati suspek mencuri sijil perakuan yang dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dari sebuah klinik di Kelantan dan mengubah nama serta maklumat peribadi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

“Wanita ini akan ke klinik untuk menawarkan perkhidmatan sebagai doktor sambilan menggunakan nama samaran termasuk Dr Nina dan menunjukkan sijil perakuan palsu sebagai bukti.

Chong berkata, Khiron mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM35 sejam dan dianggarkan memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan hasil penipuan itu.

Katanya, polis menerima enam laporan polis berhubung penipuan wanita itu iaitu lima klinik sekitar bandar raya ini dan sebuah di Bukit Sentosa.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang memburu kakak Khiron bernama Rossnah Mansor, 51, alamat terakhir Taman Sri Muda di sini bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: