Sabtu, 6 Jun 2009

Umno wujud 5 sekretariat DUN Manek Urai

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Jentera Penerangan Umno Kelantan menubuhkan lima sekretariat, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Julai depan bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Husin, berkata Umno kini berhadapan dengan tugas serta tanggungjawab berat untuk meyakinkan rakyat khususnya di kawasan DUN Manek Urai supaya kembali menyokong memilih BN.

Beliau yang baru dilantik memegang jawatan itu berharap, dengan lima sekretariat yang merangkumi sistem teknologi maklumat (IT), saraf, media termasuk perhubungan awam serta latihan (pentadbiran), mampu membawa perubahan dalam senario politik di negeri ini nanti.

"Keadaan lebih mencabar berikutan berubahnya senario politik semasa dan kita berusaha mengatur strategi melalui penubuhan lima sekretariat ini dengan bahagian saraf akan diketuai saya sendiri.

"Dalam senario sekarang terutama selepas pilihan raya umum baru-baru ini, ia menunjukkan seolah-olah masyarakat di Kelantan sudah ingin tinggalkan Umno serta BN. Oleh itu, satu strategi mantap perlu dihasilkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti ini," katanya di sini, semalam.

Dali berkata, sekiranya keadaan politik semasa tidak ditangani dengan sebaik mungkin, tidak mustahil pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai serta pilihan raya umum akan datang, perkara sama akan berulang.

Katanya, semua ahli dan pucuk pimpinan parti komponen harus mula berubah dengan mengambil pendekatan lebih mesra rakyat, supaya masyarakat negeri ini melihat Umno sudah berubah sekali gus menarik minat mereka menyokong BN.

"Pembangkang seperti Pas, bukannya kuat namun kelebihan mereka adalah semangat ahli terhadap parti begitu tinggi sanggup ke mana saja bersama pemimpin sehingga mampu mewujudkan satu pasukan yang kukuh.

"Budaya ini tidak berapa wujud dalam Umno dan BN, yang kebanyakannya mempunyai sikap sudah tahu dan sudah dengar, sehingga ada yang tidak mahu ikut pemimpin tertentu berceramah kerana sudah tahu dan sudah dengar.

"Ini menunjukkan kita (Umno dan BN) tidak mempunyai kesedaran bersama untuk meletakkan parti lebih dari segala-galanya," katanya.

Beliau berharap pilihan raya kecil Manek Urai nanti akan membawa perubahan besar bukan saja bagi kawasan itu, malah kepada ahli serta pemimpin Umno dan BN negeri ini.

Tiada ulasan: