Rabu, 10 Jun 2009

Umno perlu ambil kira bancian Kemas

Muda Mohd Noor


Umno perlu mengambil kira bancian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) jika parti itu mahu memulihkan semula sokongan di kalangan akar umbi, kata seorang pegawai kanan jabatan itu.

Menurutnya, ini kerana bancian Kemas yang paling tepat berbanding yang dibuat oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Walaupun begitu, Umno tidak begitu mengambil berat bancian yang dibuat oleh Kemas.

"Ini mungkin kerana banyak lagi agensi lain yang membuat bancian yang serupa, yang turut diambil kira oleh Umno.

"Tetapi Kemas merupakan agensi kerajaan yang paling dekat dengan rakyat, kami tahu gerak geri mereka," katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Selain Kemas, agensi lain yang membuat bancian mengenai sikap pengundi ialah polis, perisikan tentera dan jabatan hal ehwal khas (JASA) Kementerian Penerangan.

Laporan berkenaan turut diambil kira oleh Umno untuk mengkaji sikap pengundi menjelang pilihanraya di satu-satu tempat.

Pegawai Kemasi itu berkata, sebagai contoh, pihaknya telah menjalankan bancian sikap pengundi DUN Manek Urai.

Menurutnya, rata-rata pengundi memilih calon sebagai kriteria utama dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Kita juga tahu ada 900 pengundi atas pagar di Manek Urai yang kebanyakannya membuat keputusan memilih calon di saat-saat akhir menjelang hari mengundi.

"Mereka juga berkata sedia mengundi calon BN jika parti itu meletakkan seorang calon seperti bekas Adun PAS Manek Urai, Ismail Yaacob," katanya.

Hari penamaan calon Manek Urai ialah 6 Julai, manakala pengundian pada 14 Julai depan.

Tiada ulasan: