Khamis, 11 Jun 2009

Tiga penjara baru tempatkan 5,000 banduan

MYMETRO


KAJANG: Tiga penjara baru dijangka siap Ogos ini manakala dua lagi pada tahun depan, bakal membantu Jabatan Penjara menangani masalah kesesakan banduan dalam penjara di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara yang baru, Datuk Zulkifli Omar, berkata tiga penjara itu sedang dalam pembinaan di Seberang Prai, Pulau Pinang, Sungai Udang (Melaka) dan Perlis.

“Penjara Sebarang Prai dibina dengan kos RM250 juta. Apabila siap kelak, semua penjara itu akan menampung kapasiti hampir 5,000 banduan dan dijangka dapat mengatasi kesesakan dialami hampir 30 penjara sedia ada di negara ini.

“Selain itu pihak Jabatan Penjara akan menggunakan kaedah ‘transfer of prisoner’ (pemindahan banduan) di mana banduan tertentu akan dipindahkan ke penjara yang mempunyai kekosongan,” katanya, semalam.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, ia bergantung jenis hukuman yang sedang dijalani seseorang banduan serta mengkaji pelbagai alternatif hukuman yang sesuai.

Alternatif bagi mengurangkan kesesakan ialah menggunakan sistem parol yang diperkenalkan sejak Julai tahun lalu.

“Kita berharap sistem parol akan merapatkan lagi banduan ini dengan masyarakat serta sebagai program pemulihan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli menghadiri majlis terima tugas daripada Datuk Mustafa Osman yang bersara di Ibu Pejabat Jabatan Penjara, di sini.

Diminta mengulas cadangan memindahkan banduan warga asing untuk menjalani baki hukuman di negara asal, Zulkifli berkata ia masih dalam peringkat cadangan dan akan dibentangkan kepada Kabinet serta Jabatan Peguam Negara sebelum diluluskan.

Tiada ulasan: