Rabu, 10 Jun 2009

Tertuduh kes bunuh 'amal ajaran Ashaari Muhamad'

MALAYSIA KINI


Mahkamah diberitahu tiga remaja yang didakwa membunuh suami isteri pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas mengamalkan ajaran pengasas al-Arqam, Abuya Ashaari Muhamad.

Timbalan pendakwaraya Aidatul Azura Zainal Abidin berkata berdasarkan keterangan beberapa saksi, pembunuhan yang dilakukan oleh dua beradik awal 20-an dan sepupu mereka "bermotifkan rasa kepercayaan bahawa orang yang mati boleh dihidupkan semula", lapor Bernama.

Muhammad Ilyas Abdul Razak, 22 dan adiknya Muhamad Fauzi Abdul Razak, 21 bersama Muhammad Nizam Mohd Ibrahim didakwa bersama-sama membunuh bapa sepupu mereka itu Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan ibunya Rosina SM Mydin Pillay, 42.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di rumah No 5-7C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada 1 Okt 2008 antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam ucapan pembukaannya itu, menurut agensi berita itu, Aidatul Azura berkata motif pembunuhan akan dibuktikan menerusi rakaman klip video yang akan dikemukakan semasa perbicaraan kelak.

"Pihak pendakwaan akan membawa keterangan dari saksi awam yang akan membuktikan niat dan perbuatan tertuduh sehingga berlakunya pembunuhan tersebut.

"Bukti juga akan dikemukakan melalui rakaman klip video di mana rakaman tersebut dibuat melalui telefon bimbit milik Muhammad Nizam.

"Rakaman klip video tersebut menunjukkan beberapa adengan, transaksi dan perbuatan susulan selepas kedua-dua si mati dipukul. Rakaman klip video ini dibuat secara bergilir-gilir oleh mereka," Aidatul Azura dilaporkan berkata.

Selain itu, timbalan pendakwaraya juga berkata pihaknya akan membuktikan bahawa benda-benda seperti topi keledar, meja kayu, kaca serta batang pengelap lantai digunakan untuk memukul sekumpulan tujuh anggota keluarga sehingga menyebaban kematian Mohd Ibrahim dan Rosina.

"Di dalam kes ini, tertuduh pertama (Muhammad Ilyas) bertindak sebagai ketua yang memberi arahan kepada tertuduh kedua dan ketiga (Muhammad Nizam) untuk memukul anggota badan ahli keluarga mereka yang berada di tempat kejadian pada ketika itu.

"Kejadian berlaku pada hari raya pertama Aidilfitri iaitu pada 1 Okt 2008. Kesemua ahli keluarga yang menjadi mangsa akibat dipukul oleh tertuduh adalah seramai tujuh orang termasuk kedua-dua si mati," katanya.

Tambahnya, laporan bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian kedua-dua mangsa adalah "kecederaan di kepala akibat pukulan dengan objek tumpul".

Sementara itu, lapor Bernama lagi, saksi pertama yang dipanggil pada pada hari pertama perbicaraan hari ini, V Vickeneswaran berkata beliau melihat lantai telah dibersihkan tetapi terdapat beberapa percikan darah di bahagian dinding serta berbau hanyir ketika masuk ke rumah tempat kejadian.

"Mula-mula masuk rumah saya nampak dua mangsa, seorang pak cik berumur, seorang perempuan dan dua orang budak lelaki. Saya tidak usik apa-apa.

"Saya lihat dua mayat di ruang tamu iaitu seorang mayat lelaki di atas kerusi sofa dan seorang mayat perempuan di bahagian bawah kerusi sofa," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Aidatul Azura.

Vickeneswaran, seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam, berkata selepas ke ruang tamu, dia kemudiannya bergerak ke
sebuah bilik (disebut bilik kedua) dan berjumpa dengan dua orang perempuan (seorang yang telah berumur dan seorang lagi gadis remaja) dan seorang lelaki remaja yang mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan lebam pada matanya.

Katanya, di sebuah bilik lagi (disebut bilik pertama) seorang remaja
perempuan pula terbaring dan mengalami kecederaan parah.

Sepanjang prosiding, ketiga-tiga remaja itu yang berada di kandang tertuduh kelihatan bersahaja dan sesekali tersenyum sesama mereka.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah disambung esok.

Semua tertuduh diwakili peguam Supramaniam Kasia Pillay, manakala
Aidatul Azura dibantu oleh timbalan pendakwaraya Anselm Charles Fernandis.

Tiada ulasan: